Individu 18 tahun perlu bersedia sebelum bertanding

Iklan
KOTA KINABALU - Persediaan mencukupi dari segi politik dan kepimpinan harus ada pada individu yang berumur 18 tahun sebelum mana-mana parti politik memikirkan untuk memberi peluang kepada individu berkenaan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Ahmad Farid Sainuri berkata, panduan serta pengetahuan secukupnya berkaitan politik dan kepimpinan sangat penting diterapkan dalam diri setiap calon muda memandangkan pengalaman mereka sangat terhad selain mereka bakal menggalas tanggungjawab besar sekiranya berjaya dipilih sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, persediaan seumpama itu sangat penting kerana calon muda terbabit tidak hanya mewakili suara golongan pemuda bahkan mewakili rakyat secara keseluruhannya.

"Kebaikannya (keputusan membolehkan individu 18 tahun bertanding dalam pilihan raya, ia pasti membuka mata anak muda bahawa keterlibatan mereka mempunyai ‘weighty’ atau pengaruh yang sangat kritikal. Bukan setakat menjadi pemerhati, bukan pengundi, malah sebagai pembuat polisi,” katanya kepada Bernama di sini.

Baru-baru ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan mana-mana parti politik bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini boleh meletakkan calon berusia 18 tahun sejajar dengan Pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 September lepas.

Ahmad Farid ketika ditanya adakah akan ramai calon bebas dalam kalangan anak muda bertanding dalam pilihan raya akan datang berkata, ramai atau tidak penyertaan daripada golongan itu bergantung kepada trend politik semasa yang dinamik dan sentiasa berubah setiap masa.

Bagaimanapun beliau berkata, MBS melihat akan ada gerakan dalam kalangan anak muda berumur bawah 21 tahun untuk bertanding atas tiket bebas dan mereka tidak memerlukan parti politik bagi menarik perhatian mahupun meyakinkan pengundi khususnya di kawasan bandar.

"MBS menjangkakan rapat umum tidak lagi relevan apabila sosial media mampu menjadi medium komunikasi berkesan tanpa limitasi lokasi dan masa. Mereka tidak memerlukan penajaan khusus daripada mana-mana pihak, malah, boleh jadi mereka ditaja oleh orang ramai melalui kaedah ‘crowdfunding’,” katanya.

"Namun apa yang membimbangkan ialah sekiranya populariti dijadikan sebagai indikator pemilihan calon berbanding keupayaan membawa agenda perubahan progresif dan boleh menyampaikan amanah rakyat," katanya.

Dalam pada itu Ahmad Farid berkata, MBS konsisten mencadangkan kepada kerajaan Sabah untuk mewujudkan modul pendidikan demokrasi lebih holistik sesuai dengan naratif politik Sabah kerana Sekolah Rukun Negara dan Akademi Pilihan Raya anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan SPR tidak mencukupi.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, kerajaan perlu ada strategi komprehensif termasuk memperkenalkan pendidikan politik sebagai persediaan memperkasa kredibiliti anak muda sebelum berkecimpung dalam arena politik.

"Ini bagi memastikan belia terpilih menjadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya memiliki kualiti dan matang dalam berpolitik selain bersiap sedia daripada aspek intelektual, mental dan fizikal bagi menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin," katanya. - Bernama