MELAKA TENGAH - Seorang ketua tenaga pengajar di sebuah madrasah di Bemban di sini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dakwaan cubaan meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajarnya sejak tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, tindakan keji itu terbongkar setelah salah seorang ibu pelajar berusia 14 tahun membuat laporan polis pada Khamis lalu, selepas anaknya berusia 14 tahun menceritakan perbuatan itu yang didakwa dilakukan gurunya termasuk terhadap beberapa pelajar lain.
Menurutnya, perbuatan tersebut didakwa dilakukan seorang ustaz berusia 28 tahun sejak tahun lalu di asrama madrasah persendirian yang mempunyai 31 pelajar tahfiz lelaki berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
"Berdasarkan keterangan yang diberikan, anaknya mendakwa individu itu cuba melakukan seks luar tabii pada kira-kira jam 10 pagi, namun remaja itu sempat melarikan diri pada 23 September lalu.
"Suspek yang juga ketua tenaga pengajar madrasah berkenaan ditugaskan secara bergilir-gilir dengan guru lain untuk menjaga asrama penginapan pelajar sebanyak dua kali seminggu.
"Pengadu juga telah bertanya kepada anak mengenai perkara ini di mana hal ini telah terjadi sejak dari tahun lalu hingga sekarang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati ustaz terbabit akan memanggil mangsa dan memintanya untuk urut kaki, tangan serta bahagian kepalanya apabila tiba gilirannya bertugas.
Menurutnya, suspek menggunakan taktik dengan cara menolak badan mangsa untuk baring di sebelahnya apabila mangsa memberi alasan kepenatan sebelum suspek terus memeluk erat badan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.