JOHOR BAHRU - Penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antara 22 individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) sempena Ops Ambang, tengah malam tadi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah Mainj, Halid Sono berkata, kesemua mereka ditahan menerusi serbuan berasingan di hotel dan rumah tumpangan sekitar Johor Bahru dan beberapa daerah lain.
Menurutnya, operasi bermula jam 12.30 malam hingga 4.30 pagi itu telah disertai seramai 25 pegawai dan anggota Penguatkuasa Agama (PPA) Negeri Johor.
"Menerusi beberapa serbuan berasingan yang dilakukan kita kemudiannya telah menahan seramai 22 individu berusia 22 hingga 45 tahun kerana disyaki melakukan khalwat dan mendatangkan syak bersama pasangan bukan mahram.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan, cuma berdasarkan perbualan awal ada daripada mereka ini adalah pelajar IPT,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Halid berkata, ketika ditahan kebanyakan daripada mereka hanya memberikan alasan yang sama seperti tangkapan-tangkapan sebelum ini.
"Memang kebiasaannya, kita akan buat serbuan, terutama macam cuti perayaan atau cuti umum. Jadi macam-macam alasan dah kita dengar.
"Macam tangkapan kali ini, alasan digunakan baru balik daripada sambutan tahun baharu, tidak sempat nak balik dan bermalam bersama. Ada juga beri alasan walaupun duduk bersama tidak buat apa-apa.
"Kita faham perkara itu, tetapi cara Islam melarang perkara itu, kalau dudul berdua-duaan di tempat tertutup macam itu kan menimbulkan syak,” katanya.
Katanya, penahanan kesemua individu itu dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) dan (b) Enakmen Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
Jika sabit kesalahan kesemua mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya.