CHERAS - Seorang wanita warga Indonesia selamat melahirkan anak di dalam sebuah teksi selepas dibantu seorang anggota polis dari Balai Polis Salak Selatan Baru.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika kejadian jam 3.40 petang, Lans Koperal N Komathi sedang bertugas di Pondok Polis Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
"Beliau didatangi seorang wanita yang sedang sarat mengandung dan sedang sakit seperti mahu bersalin.
"Melihat keadaan wanita tersebut, Komathi nekad membawa wanita itu menaiki teksi ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Mokhsein berkata, Komathi membantu wanita berkenaan melahirkan bayi lelaki seberat 3.7 kilogram ketika dalam perjalanan ke hospital.
"Apabila sampai di wad kecemasan HUKM, wanita berkenaan terus diberi rawatan lanjutan oleh kakitangan hospital.
"Wanita dan anak dalam keadaan baik. Suami kepada wanita itu turut dihubungi untuk memaklumkan perkara tersebut,” katanya.
Komathi, 27, anak ketiga daripada empat beradik memulakan kerjaya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia pada 16 Januari 2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Setelah tamat latihan, beliau ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan kemudian bertukar ke Balai Polis Salak Selatan Baru pada Mac 2017.
Beliau telah berkahwin dengan seorang anggota polis yang kini bertugas di Balai Polis Sungi Besi dan dikurniakan dua cahaya mata.