Tersenarai terima wang 1MDB, ITBM beri penjelasan

Iklan
1MDB

KUALA LUMPUR - Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang dikatakan antara entiti tersenarai menerima wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjelaskan bahawa wang itu adalah bayaran bagi khidmat penerbitan dan jualan buku tanpa mengetahui sumber asal wang itu.

Menurut kenyataan ITBM, pembayaran yang diterima daripada Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu adalah urusan jual beli biasa mengikut prosedur yang menjadi amalan bagi mendapatkan produk dan khidmat yang ditawarkan oleh ITBM.

Iklan
Iklan

"Secara kronologinya, pada 2011, ITBM telah menerima permintaan mendapatkan khidmat penerbitan dan jualan buku dengan jumlah RM365,000 dan RM610,000 yang disalurkan oleh pelanggan.

"Sebagai agensi kerajaan yang turut melaksanakan kerja-kerja penerbitan buku, ITBM telah menerima dan melaksanakan permintaan pelanggan berkenaan mengikut prosedur kerja dan pembayaran biasa yang diamalkan oleh ITBM, serta telah melaksanakan kerja-kerja penerbitan seperti yang dipersetujui mengikut tempoh yang ditetapkan," menurut kenyataan itu hari ini.

Iklan

Tambah ITBM, khidmat yang dipersetujui melalui urusan tersebut dilaksanakan dengan kaedah beli semula dan buku yang diterbitkan dibekalkan semula kepada pelanggan untuk jualan terus dan edaran kepada umum.

"Kaedah yang sama turut diguna pakai bagi pelanggan yang mendapatkan khidmat penerbitan dan jualan buku ITBM,” menurut kenyataan itu.

Iklan

ITBM juga telah dipanggil dan memberi keterangan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa bagi Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram (Amla) pada Julai dan Ogos 2018 serta Julai tahun ini.

"Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas atau tindakan lanjut yang dimaklumkan. Sehingga hari ini ITBM masih belum menerima apa-apa notis rasmi berkenaan perkara ini daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedia memberikan kerjasama untuk penjelasan lanjut, jika diperlukan," menurut ITBM.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan senarai 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, mereka yang menerima kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (Amlatfa) itu diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.