KUALA LUMPUR - Kerajaan memperkenalkan skim pinjaman mudah bagi menggalakkan industri perladangan buluh tempatan.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, inisiatif terbaharu kerajaan itu penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan eksport terhadap komoditi utama seperti sawit dan getah.
Menurutnya, pinjaman mudah itu akan berjumlah RM10,000 setiap hektar dengan bayaran balik apabila pinjaman itu matang dalam tempoh tujuh tahun.
Katanya, ketika ini, kerajaan ada menyediakan khidmat pinjaman mudah di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan tetapi hanya untuk tanaman getah.
"Penanaman buluh juga amat mudah berbanding komoditi lain, tetapi memerlukan pembajaan dan penjagaan rapi.
"(Dengan pinjaman mudah ini), kami mahu menggalakkan lebih ramai menanam buluh untuk industri hiliran dan berharap lebih banyak sektor swasta terlibat dan bekerjasama dengan kerajaan,” katanya kepada media selepas melawat pameran produk buluh di bangunan utama Parlimen di sini hari ini.
Teresa berkata, Malaysia perlu meneroka sumber pendapatan komoditi tambahan selain membantu menjana hasil tambahan untuk pekebun kecil di negara ini.
Selain memenuhi keperluan domestik, Teresa berpendapat negara juga boleh merebut peluang perdagangan buluh di peringkat antarabangsa yang semakin meningkat terutamanya di pasaran Jepun.
"Sumbangan daripada industri buluh juga masih kurang yang mencatatkan nilai eksport produk buluh pada 2018 sebanyak RM9.9 juta berbanding saiz pasaran buluh global yang dianggarkan sebanyak AS$68.8 bilion setahun.
"Pihak saya dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan kerajaan negeri Perak, sedang membangunkan industri buluh secara kluster dengan menubuhkan tapak semaian buluh di Ulu Kinta seluas 1.7 hektar.
"Saya menjangka sebanyak 100,000 anak benih buluh dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan daripada tapak semaian tersebut," katanya.