KPDNHEP rampas barangan tiruan bernilai RM664,000

Iklan
Suhaimi (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan disyaki tiruan yang dirampas dalam operasi di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR - Kegiatan penjualan barangan tiruan berjenama di premis di Lorong Haji Taib di sini dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui rampasan dianggarkan bernilai RM664,000.

Serbuan di tiga premis itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor pada jam 12 tengah hari tadi.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari berkata, barang disyaki tiruan yang dirampas membabitkan pakaian sukan dan jam tangan yang menggunakan perihal dagangan palsu jenama terkenal dunia.

"Kita merampas sebanyak 13,203 unit barang disyaki tiruan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM664,000.

Iklan

"Seramai tiga individu membabitkan dua wanita dan seorang lelaki tempatan disyaki penjaga premis turut ditahan. Kita juga akan mengesan pemilik premis terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Iklan

Suhaimi berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai meraih keuntungan lebih 100 peratus hasil jualan pakaian sukan pada harga RM50 berbanding RM100 hingga RM200 harga untuk barangan tulen.

Antara barangan disyaki tiruan yang dirampas dalam operasi di ibu negara hari ini.

Katanya, bekalan barangan disyaki tiruan itu diperoleh dari negara jiran sebelum dipasarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 103 kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 direkodkan KPDNHEP di ibu kota bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini.

"Seramai 31 individu ditahan membabitkan lapan warga tempatan dan 23 warga asing.

"Daripada 103 kes direkodkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, sebanyak 74,990 unit barangan disita yang bernilai RM2,637,182," katanya.

Tegasnya, pihaknya memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat seperti ditetapkan oleh undang-undang.