SHAH ALAM - Pengusaha agensi pelancongan dan umrah di negara ini tidak akan terjejas dengan pengenalan visa pelancongan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Presiden Persatuan Pelancongan, Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, setiap pengusaha agensi pengurusan umrah perlu berfikiran terbuka dan tidak hanya mengutamakan perniagaan semata-mata.
Katanya, Kerajaan Arab Saudi telah memberi keistimewaan kepada rakyat Malaysia melalui pengenalan visa pelancongan itu.
"Papuh percaya Malaysia dipilih antara dua negara Islam yang diberi kelebihan kerana pengurusan operasi umrah yang teratur serta rakyat kita yang berdisiplin," katanya pada sidang akhbar Majlis Penerangan Visa Pelancongan hari ini.
Hadir sama, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Konsul Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia, Ali Alheji.
Melalui pengenalan visa pelancongan ini, Razali berkata, rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan keluar masuk ke Arab Saudi selama setahun dan tinggal tidak lebih dari 90 hari.
Katanya, selain dapat melancong ke tempat menarik pemegang visa juga boleh mengerjakan umrah tanpa sebarang sekatan.
"Bagaimanapun, Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan pemegang visa ini untuk mengerjakan Haji," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Visa pelancong Arab Saudi: Peluang agensi pelancongan luas perniagaan