KUALA LUMPUR - Sekretariat Gabungan Anak Muda Malaysia menuntut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan jika gagal membela nasib pekerja Foodpanda.
Pengerusinya, Muhammad Faizal Sufar meminta pertimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengangkat Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menggantikan jawatan itu.
"Saya lihat tiada wakil anak muda dalam Pakatan Harapan (PH) boleh diangkat sebagai ikon namun Nik Nazmi lebih baik kerana pengalamannya dalam Angkatan Muda Keadilan.
"Bukan hanya isu Foodpanda, sebelum ini banyak janji ditabur oleh Syed Saddiq namun tidak nampak ia dilaksanakan," katanya pada sidang media di Dang Wangi di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Sekretariat Gabungan Anak Muda Malaysia, Fairuz Jamaludin dan Pengerusi Nadi Rakyat Wilayah, Mazlan Abdul Latif.
Sebelum ini melalui ciapannya di Twitter, Syed Saddiq menyifatkan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda Malaysia (Foodpanda) sebagai angkuh kerana mengeluarkan kenyataan yang membayangkan mereka tiada masalah jika penunggangnya melancarkan mogok terhadap skim pembayaran baharu.
Menurutnya, sebagai syarikat korporat, Foodpanda dibangunkan oleh pekerja dan pengguna, juga boleh dijatuhkan oleh kedua-duanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Keangkuhan Foodpanda tak selesai masalah: Syed Saddiq
Dalam perkembangan sama, Muhammad Faizal meminta kerajaan menangani segera isu penghantar makanan Foodpanda yang terjejas dengan kaedah pembayaran baharu yang diperkenalkan syarikat itu.
"Kerajaan perlu memandang serius perkembangan gig ekonomi seperti Foodpanda yang semakin berkembang pesat di Malaysia. Isu itu perlu dibawa ke Kabinet untuk melindungi pekerja melalui akta pekerja.
"Foodpanda sahaja sudah mempunyai 13,000 penghantar makanan, tidak termasuk perkhidmatan lain seperti Grab Food dan Grab Car. Hak pekerja gig ekonomi ini harus dijaga supaya ekonomi baru ini dapat disuburkan dalam negara," katanya.