Premis penjagaan orang tua diserbu anjur kursus kepada PATI

Iklan
Antara yang ditahan dalam Ops Bersepadu di sekitar Petaling Jaya, Damansara dan Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Premis agensi penjagaan orang tua yang menawarkan kursus dan latihan kepada warga asing diserbu pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu kelmarin.

Operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sekitar Petaling Jaya, Damansara dan Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 55 warga asing yang diperiksa.

"Pemeriksaan mendapati mereka terdiri daripada 28 warga Filipina, Pakistan (9), India (2) dan seorang Sri Lanka.

Iklan

"Premis ini menawarkan kursus dan latihan penjagaan orang tua dan pembantu rumah dengan menjanjikan peluang pekerjaan kepada peserta. Peserta warga dikenakan bayaran RM200," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua agensi gagal mengemukakan dokumen tujuan mengadakan kursus dan latihan. Kebanyakan peserta adalah wanita warga asing yang mempunyai pas pembantu rumah dan lawatan sosial.

Iklan

"Semakan awal mendapati kesemua mereka mempunyai pas pembantu rumah tetapi tidak bekerja dan lari dari majikan asal. Terdapat juga wanita warga asing yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan menghadiri kursus itu untuk mendapatkan pekerjaan.

"Pada masa sama, lelaki warga asing yang bekerja di sektor pembinaan dan perladangan turut menghadiri kursus dan latihan ini untuk mendapatkan pekerjaan sambilan," katanya.

Tambahnya, kursus dan latihan itu menyumbang kepada peningkatan kes lari dari majikan, bekerja tanpa permit yang sah atau menyalahgunakan pas.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.