'ALLAH makbulkan doa saya'

Iklan
Syarmeliah menunjukkan gambar x-ray tulang belakangnya yang bengkok.

KUALA NERUS -"Alhamdulillah, ALLAH SWT makbulkan permintaan saya untuk kembali hidup normal seperti insan lain," kata Syarmeliah Syahruddin, 22, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menghidap penyakit ‘Adolescent Idiopathic Scoliosis’ atau tulang belakang bengkok.

Syarmeliah berkata, sepanjang lapan tahun menderita tulang belakang bengkok, dia tidak pernah putus berdoa supaya ALLAH SWT menghilangkan kesakitan yang ditanggung dan memberikan kesembuhan kepadanya.

Iklan
Iklan

Syarmeliah yang berasal dari Sandakan, Sabah akan menjalani pembedahan skoliosis berjumlah RM23,500 yang dibiayai sepenuhnya sumbangan daripada Dana Wakaf dan Tabung Kebajikan dan Perlindungan Mahasiswa (TKPM) yang ditubuhkan UniSZA.

Skoliosis ialah istilah perubatan merujuk kepada keadaan tidak normal apabila tulang belakang membengkok ke kanan atau kiri. Tulang belakang pesakit skoliosis akan membentuk lebih kepada huruf ‘S’ atau ‘C’ berbanding lurus pada orang normal.

Iklan

Pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Kaunseling itu berkata, dia menangis apabila dihubungi pihak pengurusan memaklumkan UniSZA akan menanggung sepenuhnya kos pembedahan pada 17 November nanti di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Syarmeliah (tiga dari kanan) menerima bantuan pembiayaan penuh pembedahan skoliosis berjumlah RM 23,500 dari Dana Wakaf dan Tabung Kebajikan dan Perlindungan Mahasiswa (TKPM) UniSZA yang disampaikan Dr Hassan Basri (tiga dari kiri) di pejabat Naib Canselor hari ini.

Ini kerana katanya, selepas dikesan menghidap skoliosis pada usia 14 tahun, doktor menyarankan dia menjalani pembedahan ketika umurnya 18 tahun, namun terpaksa menolak kerana tidak mampu menyediakan wang secukupnya.

Iklan

Dalam tempoh lapan tahun, gadis itu terpaksa hidup bergantung kepada ubat penahan sakit, tidur secara meniarap atau mengiring ekoran kesakitan dan sesak nafas akibat tulang rusuk semakin menghimpit.

"Keadaan ini mengganggu rutin seharian sebagai pelajar, saya banyak kali tidak pergi kelas. Jika pergi pun, kelas tiga jam saya hanya mampu masuk sejam saja. Bila sakit menyerang saya menangis dan rakan-rakan cuba menenangkan saya.

"Namun, sakit ini nampaknya makin hari semakin serius, sekarang bila dia menyerang makan ubat tahan sakit sudah tidak lagi meredakan, saya kena pergi hospital.

"Saya bersyukur dapat bantuan ini, walaupun lewat tapi masih ada. Doktor kata jika tidak dibedah, tiba satu masa saya akan lumpuh dan sekarang pun kaki kiri saya sentiasa kebas selain semakin hilang deria rasa,” katanya yang tinggal bersama ibu, Suraidah Lacatta seorang peniaga kedai runcit.

Syarmeliah adalah pelajar pertama tahun ini yang menerima pembiayaan kos sepenuhnya dari UniSZA dan penyerahan bantuan disempurnakan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di pejabatnya hari ini.

Menurut Syarmeliah, pembedahan memasukkan empat batang besi dan 16 skru bagi membetulkan semula tulang belakangnya yang dijangka memakan masa antara enam hingga tujuh jam adalah pengalaman pertama bakal dihadapinya.

Sehubungan itu, beliau berharap pembedahan itu nanti dapat berjalan lancar bagi membolehkan dia menikmati kehidupan lebih sempurna.

"Risiko pembedahan ini tinggi, boleh berlaku pendarahan dan saya mungkin lumpuh sebab libatkan saraf tunjang, sebab itu doktor tidak akan bedah jika ICU (Unit Rawatan Rapi) tidak ada kosong.

"Apa pun saya kini bersedia untuk hidup bersama besi dalam badan saya,” katanya yang akan bercuti selama lima bulan selepas pembedahan dan menangguhkan pengajiannya sehingga kesihatannya pulih.