Orang kita 'ghairah' mahu kulit cerah

Iklan
Mohideen menunjukkan beberapa contoh produk merbahaya yang mengandungi merkuri pada sidang media semalam.

GEORGETOWN - Pengharaman produk kecantikan terutama krim muka yang berbahaya dilihat tidak berkesan berikutan masih banyak produk tersebut bebas dijual di pasaran.

Sehubungan itu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan digesa agar memperketatkan lagi penguatkuasaan bagi mengharamkan produk yang merbahaya itu.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati krim pemutih yang diharamkan selain krim kecantikan tiruan masih dijual secara berleluasa.

Menurutnya, penduduk Asia terlalu 'ghairah' untuk mempunyai kulit yang cerah sehingga mengabaikan keselamatan kulit.

Iklan

"Budaya dari zaman penjajah masih segar di kalangan masyarakat kita iaitu orang yang berkulit dilihat cantik dan dari golongan kaya. Sebab itu, krim pemutih yang mengandungi bahan kimia iaitu merkuri masih dijual dan mendapat sambutan dari wanita yang mahu kelihatan cerah.

"Beberapa tinjauan mendapati, ramai wanita menggunakan produk tersebut dalam tempoh yang lama. Ada antaranya sehingga 20 tahun. 61 peratus responden mendakwa memiliki kulit yang lebih cerah membuatkan mereka kelihatan lebih muda," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Iklan

Tambahnya, penggunaan krim yang mengandungi merkuri dengan kerap boleh menimbulkan masalah ruam, kulit berubah warna dan bertompok.

"Kesan merkuri yang kronik berpunca daripada penggunaan bahan kimia itu terhadap kulit dalam tempoh yang lama. Lebih teruk, si pemakai akan mengalami sakit perut yang teruk, muntah, mulut berwarna kekelabuan dan cirit-birit berdarah sekiranya menggunakan merkuri dalam tempoh yang lama.

"Selain itu, keracunan merkuri juga boleh menyebabkan gigi menjadi longgar dan lapisan gusi menjadi kebiruan. Bagi wanita hamil, risiko keguguran amat tinggi kerana merkuri akan meresap melalui uri. Kerosakan sel mungkin berlaku di tempat merkuri terkumpul selain akan memberi kesan alahan dan radang," katanya.

Gambar hiasan

Mohideen berkata, sehubungan itu, selain penguatkuasaan lebih tegas, kerajaan juga digesa mengawasi semua kosmetik merbahaya yang dijual secara meluas.

"Walaupun kerajaan sudah melaksanakan penguatkuasaan, ia masih belum berkesan. Kerajaan perlu menarik semula semua kosmetik yang didapati merbahaya melalui usaha pengawasan.

"Orang ramai terutamanya wanita juga perlu sedar akan kesan merbahaya bahan kimia yang dimasukkan dalam produk kecantikan. Jangan kerana mahu cantik, soal keselamatan tidak diendahkan," katanya.

Empat hari lalu, seorang model sambilan berusia 21 tahun menderita tidak boleh tidur, makan dan bercakap selepas kulit mukanya mengalami kegatalan dan menggelupas teruk selepas memakai satu produk kecantikan.

Wanita itu mendakwa, dia memakai set kecantikan berharga RM70 itu sejak dua bulan lalu dan tidak menyangka kulit mukanya yang sebelum ini tidak bermasalah menjadi lebih teruk.