'CHAL chal chal, mere sathee’. Itu antara bait-bait lagu daripada filem Bollywood berjudul Haathi Mere Saati terbitan tahun 1971 yang memaparkan kehidupan kasih sayang tiada batasan antara manusia dan juga gajah.
Bagaimanapun, penulis tidak ingin bercerita mengenai filem lakonan Rajesh Khanna dan Tanuja itu, sebaliknya ingin mengajak pembaca merenungi sejenak ‘nasib’ serta kisah berbeza mamalia terbesar di darat itu seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Kisah pertama, penulis percaya pasti ada di antara kita tersenyum sendirian tatkala melihat video gelagat gajah berenang di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan durasi tiga minit 45 saat yang tular di media sosial.
Video dimuat naik pengguna Facebook, Mohd Suwardi Muhamad Azmi pada 21 September lalu itu sekali gus memberi pendedahan kepada umum yang mungkin belum tahu bahawa gajah sebenarnya berkebolehan untuk berenang jauh dalam air.
Peluang menyaksikan sendiri haiwan itu berenang adalah sesuatu yang jarang diperoleh namun ia bukan senario pelik di Tasik Kenyir.
Laporan media mengenai kisah itu tentunya sesuatu yang menyeronokkan bagi kita yang punya hati serta perasaan sayang terhadap haiwan dan tidak keterlaluan dikatakan gajah dirakam itu cukup bertuah kerana gelagatnya berenang membuatkannya ‘dikenali’.
Namun, kisah kedua pastinya meruntun hiba apabila dilaporkan seekor gajah pygmy ditemui mati di tangan manusia.
Kejadian yang berlaku di Sungai Udin, Dumpas, Tawau, Sabah itu disifatkan satu pembunuhan kejam terhadap mamalia berkenaan memandangkan hasil bedah siasat mendapati kira-kira 70 peluru tertanam dalam badan si gajah malang itu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga memaklumkan banyak peluru ditemui dalam gajah betina dianggarkan berusia antara 11 dan 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu.
Melihat kepada dua kisah ini, secara gambaran kasarnya dua nasib berlainan dilalui gajah tersebut akibat daripada manusia iaitu pemancing bagi kisah pertama dan pemburu haram untuk kisah yang kedua.
Mamalia daripada keluarga elephantidae itu adalah spesies yang kian terancam sehingga memberi kesan terhadap populasi haiwan dan jika ia terus berterusan tidak mustahil generasi akan datang mengenali tentang gajah melalui penceritaan sahaja.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME) melaporkan bilangan populasi gajah di Semenanjung Malaysia semakin menurun akibat pelbagai jenis ancaman terhadap gajah.
Timbalan Ketua Penyelidik MEME, Nottingham University Malaysia Campus, Prof Madya Dr Wong Ee Phin ketika perasmian Zoorama dan Sambutan Hari Gajah Sedunia di Taiping, Perak pada Ogos lalu memaklumkan, antara puncanya ialah ancaman perdagangan hidupan liar secara haram yang memburu gading gajah.
Berdasarkan kajian dijalankan pihaknya, didapati kini terdapat cuma sekitar 1,500 ekor gajah di Semenanjung Malaysia, manakala 40,000 ekor di Asia.
Namun masih belum terlambat untuk kita semua lakukan sesuatu bagi menyelamatkan gajah yang memainkan peranan penting dari segi keseimbangan ekosistem serta menjadi lambang ke arah konservasi biodiversiti negara.
Sambutan Hari Gajah Sedunia yang diadakan pada 12 Ogos setiap tahun bertujuan mendedahkan masyarakat dunia mengenai usaha pemuliharaan spesies gajah selain memupuk kesedaran awam tentang ancaman kritikal dihadapi oleh populasi gajah di seluruh dunia.
Selain itu juga, Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) dilancarkan kerajaan pada 27 November 2013 adalah pelan komprehensif untuk memastikan usaha konservasi gajah yang berkesan seperti meningkatkan populasi gajah di habitat utama, melindungi habitat gajah, memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan gajah, pengurusan efektif konflik gajah-manusia serta meningkatkan penyelidikan dan pengetahuan tentang ekologi dan biologi gajah.
Selain usaha kerajaan yang jalankan pelbagai pelan tindakan dan penganjuran program kesedaran kepada masyarakat, peranan bagi memastikan populasi gajah tidak terus menurun sebenarnya perlu digalas secara bersama termasuk pihak swasta.
Kerjasama semua rakyat Malaysia amat penting untuk melindungi, mengekalkan dan menghargai biodiversiti negara terutamanya hidupan liar seperti gajah yang boleh diibaratkan seperti nyawa dan warisan yang tidak ternilai harganya.