Nasi Vanggey milik Muslim

Iklan
Mohd Faisal (kiri) dan Asrul Nizam menunjukkan lauk-lauk Nasi Vanggey di Restoran Nasi Vanggey Sri Rampai. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIN

KUALA LUMPUR - Beberapa pengusaha restoran nasi kandar di bawah jenama Nasi Vanggey terkilan kerana masih ada persepsi pengusaha restoran tersebut bukan beragama Islam.

Ketua Francais Restoran Nasi Vanggey di luar Perak, Mohd Faisal Mohd Ibrahim berkata, dakwaan itu menyebabkan masyarakat Islam takut untuk mengunjungi restoran berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, salah faham tersebut mungkin timbul disebabkan papan tanda restoran yang direka seperti huruf bahasa Tamil namun hakikatnya restoran tersebut adalah milik Muslim sepenuhnya.

"Kalau di luar Perak, restoran ini 100 peratus diusahakan orang Melayu. Ada satu kes, saya lihat konvoi motosikal berhenti depan kedai tapi tak jadi masuk sebab mereka kata bukan kedai Muslim.

Iklan

"Setakat ini ada tujuh cawangan di luar Perak dan beberapa cawangan jualan agak terjejas apabila orang kata kedai kami bukan kedai Muslim. Sebab itu kami merancang menukar papan tanda restoran supaya tiada lagi salah faham,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Faisal bercadang menarik ramai peniaga Melayu melibatkan diri dalam perusahaan restoran mamak dengan menggunakan jenama Nasi Vanggey.

Tambah Mohd Faisal, restoran mereka bukan sahaja memperkenalkan konsep baharu yang berbeza dari restoran mamak malah sedang giat memastikan semua premis memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Iklan

"Setakat ini dua restoran kami di Kuantan, Pahang sudah mendapat sijil halal. Kami akan pastikan semua premis mendapat sijil halal,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha, Asrul Nizam Alias mengakui menerima pelbagai ‘soalan panas’ daripada netizen apabila mempromosikan perniagaannya di media sosial.

Katanya, netizen meminta pelbagai maklumat termasuk mempamerkan sijil halal selain mahu pemilik berkongsi gambar bagi membuktikan restorannya diusahakan orang Melayu.

"Kadang kala sedih dan terkilan apabila usaha untuk mempromosikan restoran ini menerima kecaman itu

"Tapi saya anggap itu asam garam perniagaan. Harapnya maklumat ini dapat menjelaskan kekeliruan yang timbul. Cukuplah melabel restoran Nasi Vanggey milik orang Hindu,” katanya.

Kari kepala ikan

Sementara itu, Mohd Faisal bercadang menarik ramai peniaga Melayu melibatkan diri dalam perusahaan restoran mamak dengan menggunakan jenama Nasi Vanggey.

"Permintaan memang banyak tapi buat masa ini saya berhenti dulu. Saya mencari mekanisme untuk memastikan kualiti makanan sama untuk setiap francais. Mungkin saya akan hasilkan pes untuk setiap restoran.

"Jika berjaya, mungkin saya akan buka peluang kepada usahawan Melayu dan kembangkan lagi perusahaan ini,” katanya.

Nasi Vanggey