Ramai setuju penguatkuasaan larangan merokok

Iklan
Faizal (kiri) dan Zaidi.
KUALA LUMPUR - Pandangan orang ramai bercampur baur berhubung penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan yang dikuatkuasakan malam tadi.

Bagi golongan perokok semestinya tidak selesa dengan penguatkuasaan tersebut kerana menyekat hak kebebasan mereka untuk merokok seperti kelaziman sebelum ini.

Menurut Azhar Abdul Aziz, 54, dia tidak selesa dengan penguatkuasaan itu kerana tiada sudut merokok yang disediakan oleh premis makanan.

"Saya stress dan kurang selesa setelah premis makanan dijadikan kawasan larangan merokok.

"Begitu juga kawan-kawan saya yang lain, jadi kami minta larangan itu dikaji balik untuk kami dibenarkan semula merokok di premis makanan," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, berbeza pula dengan Faizal Zainal, 26, yang menyokong saranan itu.

Katanya, dia menyambut baik saranan itu kerana ia memberi lebih keselesaan kepada orang ramai terutama mereka yang membawa keluarga bersama ke premis makanan.

"Saya setuju sebab bila perokok ini merokok di kawasan tempat kita makan ia macam ganggu ketenteraman kita.

"Perokok kena ingat mereka jangan pentingkan diri, perlu juga prihatin kepada mereka yang bawa keluarga ke tempat makan terutamanya yang ada anak-anak kecil," katanya.

Sementara itu menurut Zaidi Yusof, 30, berkata, langkah kerajaan menguatkuasakan larangan merokok itu adalah satu langkah yang baik dan wajar disokong.

Katanya, isu ini bukan sahaja langkah nasional yang bersifat terkehadapan, tetapi sejajar dengan langkah antarabangsa yang telah mempertimbangkan untuk mengamalkan pendekatan pengurangan kemudaratan (harm reduction) asap dan tembakau.

"Ia juga sejajar dengan matlamat integrasi pengurangan kemudaratan sebagai strategi oleh penggubal dasar dan orang awam, dengan matlamat akhir memastikan kesihatan lebih baik dan persekitaran yang sihat kepada masyarakat," katanya.

Selain itu jelasnya,langkah itu juga merupakan satu kaedah alternatif menangani gejala merokok dalam kalangan masyarakat.

"Kini pendekatan ‘berhenti (merokok) atau mati’ kini tidak lagi relevan bagi perokok tegar. Jadi sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pendekatan ‘berhenti atau cuba’ dengan mencuba misalnya produk nikotin alternatif. Ini terbukti berjaya di negara-negara seperti UK dan Jepun di mana produk nikotin alternatif tersedia secara meluas," katanya.

Jelasnya lagi, barangkali tiba masanya Malaysia perlu terlibat dengan lebih aktif melalui sektor penyelidikan dan forum antarabangsa berkaitan amalan dan mekanisme pencegahan merokok seperti Asia Harm Reduction Forum, yang menjadi platform kepada saintis di bidang sains, teknologi, kesihatan, dasar dan advokasi pengguna dari seluruh Asia dan Pasifik.