KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu dan pihak yang terbukti membunuh gajah di negeri ini.
Menurutnya, tindakan tegas itu sebagai peringatan untuk tidak mengambil tindakan terhadap gajah yang masuk ke kawasan mereka dan memusnahkan tanaman.
"Ia bukan lesen untuk mana-mana individu untuk sesuka hati membunuh hidupan liar yang masuk ke kawasan tanah dan memusnahkan tanaman, sebaliknya maklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar supaya tindakan susulan diambil dan pada masa sama mencari kaedah untuk menghalang ia berlaku kembali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Geran Tanah Hilir Kinabatangan daripada Saraya Co Ltd, Borneo Conservation Trust (BCT) Jepun dan BCT Sabah kepada Jabatan Hidupan Liar seluas 93 hektar untuk Santuari Hidupan Liar Kinabatangan di sini malam tadi.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Presiden Saraya Co Ltd Yusuke Saraya dan Pengerusi BCT Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Shafie mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah mengambil tindakan tegas terhadap individu dan pihak yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan gajah di Tawau, baru-baru ini.
"Tindakan itu (membunuh gajah) tidak boleh diterima dan perlu diambil tindakan tegas tanpa mengira siapa mereka termasuklah jika membabitkan (syarikat) perladangan besar.
"Pastikan mereka diambil tindakan agar kejadian seumpama ini ditangani pada masa depan,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri serius dalam melindungi hidupan liar dan memulihara alam sekitar.
Mengenai penyerahan geran tanah itu, Mohd Shafie mahu lebih ramai pihak tampil untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam program konservasi hidupan liar.
Katanya, ini termasuklah kalangan pemilik ladang kelapa sawit dengan tidak hanya memikirkan keuntungan tetapi juga hasil diperoleh diguna untuk manfaat hidupan liar. - Bernama