Tip urus perniagaan, anak cara Mila Jirin

Iklan
MILA (kanan) bersama anak lelakinya, Mohd Arif Zikri. Foto: @mila_jirin
JIKA diperhatikan golongan wanita pada hari ini semakin berani menerokai bidang keusahawanan baik dari segi makanan, butik mahupun kosmetik.

Sebahagian besar wanita menyifatkan menjalankan perniagaan sendiri bukan sahaja menawarkan pulangan lumayan sekiranya disusuli usaha gigih, bahkan memberikan masa fleksibel antara mengendalikan bisnes dan anak-anak.

Namun begitu, bukan mudah buat para wanita khususnya yang bergelar ibu untuk memberikan keseimbangan masa menguruskan dua perkara tersebut secara serentak.

Justeru, Femina kali ini memaparkan tip buat ibu-ibu membahagikan masa antara perniagaan sambil menguruskan anak yang dikongsikan selebriti dan usahawan muda Mila Jirin, menerusi entri akaun instagram beliau, @mila_jirin.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla, 32, berharap dengan perkongsian tip berkenaan ia dapat memberi manfaat kepada golongan ibu yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

"Moga dengan perancangan masa yang betul para ibu berpeluang membahagikan masa sebaik-baiknya.

"Ini penting supaya kita tidak terlepas momen penting melihat pembesaran anak-anak sambil mengembangkan perniagaan," jelas beliau yang mengusahakan perniagaan, Bizmillah Catering dan Services by Mila Jirin.

Lima tip perkongsian Mila Jirin:

1. Jadual

Pada peringkat ini, lihat pola masa anak-anak seperti waktu tidur dan sesi bermain mereka. Oleh itu, para ibu dapat merancang jadual kerja yang bersesuaian.

"Time table (jadual) saya bermula selepas Subuh memandangkan pada tempoh berkenaan Arif (anak) masih lena diulit mimpi," ujarnya.

2. Tulis senarai

Penting untuk golongan ibu menyenaraikan perkara atau tugasan yang perlu disiapkan pada keesokan harinya.

Mila yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia Musim ke-5 (AF5) memberitahu, lazimnya beliau menyiapkan to-do-list setiap malam sebelum tidur, menyemak senarai yang belum dilaksanakan dan menetapkan senarai baharu dalam telefon pintarnya.

3. Giliran masa rehat bersama pasangan

Bincang bersama pasangan untuk giliran hari 'cuti' masing-masing. Pada hari berkenaan isikan masa dengan menguruskan perihal penting atau menghadiri mesyuarat penting.

4. Bina tim penggerak

Jika ingin berjaya wanita tidak boleh melakukannya bersendirian, sebaliknya bina pasukan bagi melancarkan perjalanan tugas dan projek syarikat yang lebih berkesan.

5. Rehat secukupnya

Para ibu yang sibuk menguruskan anak dan perniagaan kadangkala tidak mendapat rehat secukupnya. Jadi, bekerjalah mengikut kemampuan, jangan memaksa diri sehingga kesihatan terjejas.

Berehat di sini bukan sahaja merujuk pada tidur, tetapi bermain dengan anak juga membantu merehatkan minda dan menghilangkan tekanan.

Sumber: @mila_jirin