Penyerang baharu Barcelona, Antoine Griezmann tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri bersama kelab Catalan itu.
Pemain pertahanan Barcelona, Clement Lenglet berkata, Griezmann kini sedang cuba memahami corak permainan Barcelona sebelum mampu memberi impak sebenar.
Iklan
Iklan
"Saya bersama dia (Griezmann) setiap hari dan saya beri jaminan dia sangat bahagia di Barcelona. Dia seorang yang sentiasa tersenyum dan gemar buat kelakar. Dalam pasukan kebangsaan Perancis pun dia tetap Griezmann yang sama.
"Dia baru saja menyertai Barcelona. Ia sebuah kelab yang berbeza berbanding kelab yang pernah diwakilinya. Barcelona bermain dengan corak yang berbeza berbanding Atletico Madrid.
"Dia sudah banyak membantu kami dengan bakat dan kudratnya dalam setiap perlawanan, beri masa kepadanya," kata Lenglet yang kini bersama Griezmann dalam skuad Perancis bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Euro 2020.
Setakat ini, Griezmann telah tampil dalam sembilan perlawanan dan telah meledak tiga gol serta membuat dua bantuan gol sejak dibeli daripada Atletico pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Namun, dalam tujuh penampilan terakhirnya, pemain berusia 28 tahun itu hanya mampu menjaringkan satu gol, sekali gus menimbulkan spekulasi dia tidak sesuai bergandingan bersama Lionel Messi dan Luis Suarez.