SEORANG ibu sanggup berulang-alik lebih 200 kilometer setiap minggu untuk membawa anaknya yang juga autisme menjalani latihan sebagai atlet renang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.
Nur Fadhilah Zamri, 27, berkata, dia mula melihat potensi anaknya, Nur Dhia Izz Ashfadina Muhammad Asrie, 10, selepas berjaya berenang merentas Selat Dinding, Lumut pada 31 Ogos lalu.
Menurutnya, sejak itu, dia dan suami, Sabah Ahmad, 56, berulang-alik dari rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Batu 8, Hulu Kinta di sini ke Pangkalan TLDM Lumut setiap Jumaat hingga Ahad.
"Saya mula nampak potensi Dhia ketika menjalani terapi akuatik selama tiga minggu dan selepas itu dia boleh berenang secara kuak dada. Malah selepas menjalani beberapa terapi, Dhia sudah boleh mengeja.
"Malah kejayaannya merentasi Selat Dinding pada 31 Ogos lalu sangat membanggakan. Disebabkan itulah saya dan suami nekad untuk teruskan latihan walaupun terpaksa berulang-alik dari Ipoh ke Lumut,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Fadhilah berkata, anak sulungnya daripada empat orang adik beradik itu kini giat menjalani latihan bagi menyertai acara Siri Renang Air Terbuka Oceanman, Krabi, Thailand pada awal November nanti.
"Biarpun terpaksa berhabis RM400 setiap minggu untuk berulang-alik, saya akan tetap meneruskan usaha itu bagi memastikan Dhia berjaya.
"Kalau ikutkan, kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Hospital Bahagian Ulu Kinta dengan gaji bulanan RM1,500,” katanya.
Katanya, Nur Dhia yang turut menghidap disleksia dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau ADHD itu kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Polis Hutan, Hulu Kinta yang mempunyai kelas Pendidikan Khas. Dia mengharapkan anaknya itu nanti mampu bersaing sebagai atlet bersama-sama insan normal yang lain.
Dalam pada itu, Nur Dhia mendapat suntikan motivasi apabila Srikandi dan Armada Bersatu Bahagian Tambun tampil menyumbang perbelanjaan perjalanan ke Krabi, Thailand bagi mengikuti kejohanan itu.
Penyerahan sumbangan disempurnakan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tambun, Puteri Holijah Muhamad Rali dan Timbalan Armada Bahagian Tambun, Mior Mohd Syahir Mior Ahmad Termizi.