PARIS - Seorang ahli perniagaan rakyat Jepun yang keluar dari hotel untuk merokok menjadi mangsa curi apabila jam tangan buatan Switzerland miliknya bernilai AS$840,000 (RM3.53 juta) dilarikan, menurut sumber polis semalam.
Mangsa yang berusia 30 tahun bersama seorang teman dihampiri seorang lelaki yang meminta sebatang rokok di luar hotel lima bintang, Hotel Napoleon berhampiran Arc de Triomphe.
Iklan
Iklan
Apabila mangsa meletakkan tangannya, pencuri terus meragut jam tangan jenis Tourbillon Diamond Twister jenama Richard Mille.
Namun lelaki Jepun itu mungkin bernasib baik kerana menurut sumber polis, suspek tercicir sebuah telefon bimbit ketika melarikan diri melalui rakaman kamera tertutup dan telefon itu diserahkan kepada divisyen polis bagi siasatan.
Jam tangan Richard Mille dengan kaca besar mempamerkan mekanisme rumit di bahagian dalamnya dinilai amat tinggi oleh golongan penggemar jam dan bentuknya itu juga menjadikannya mudah dikenali oleh para pencuri yang menyasarkan pelancong-pelancong mewah di Paris.
Akhbar Paris menerbitkan sebuah peta pada Selasa yang menunjukkan lebih 20 kejadian kecurian jam tangan mewah di kawasan diberi nama 'Golden Triangle' atau segi tiga emas dan tempat-tempat mewah lain berhampiran Champs-Elysees avenue tahun ini.
Antara Januari hingga September sebanyak 71 rompakan termasuk jam tangan mewah berlaku di Paris dan pinggir bandar berdekatan. - Agensi