PUTRAJAYA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membuat sebarang penjualan tanah milik kerajaan walaupun wujud dakwaan menyatakan sebaliknya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sejak PH mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mei 2018, tiada tanah milik kerajaan Persekutuan dijual kepada mana-mana pihak.
Iklan
Iklan
Beliau sebaliknya berkata, lebih RM4 bilion tanah milik kerajaan dijual pentadbiran terdahulu antara 2010 hingga 2017.
"Malah, kebanyakan penjualan tanah milik kerajaan yang berlaku dalam tempoh tersebut dilakukan secara rundingan terus dan bukannya secara tender terbuka.
"Para pemimpin pentadbiran lalu secara berterusan menuduh kerajaan PH menjual tanah dan aset kerajaan harus menghentikan dakwaan mereka yang tidak berasaskan fakta serta diakui bahawa ini merupakan satu amalan lazim kerajaan dianggotai mereka dahulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng turut menekankan bahawa urusan penyahlaburan dan pelupusan bukan teras dan bukan kritikal aset negara berada di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri.
"Ia bertujuan untuk mengimbangkan kembali portfolio kerajaan dan menjajarkan kembali peranan sektor awam," katanya.