WASHINGTON - Kedutaan China di Washington semalam mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melaksanakan sekatan visa ke atas beberapa pegawai mereka atas penindasan terhadap minoriti Islam di Xinjiang.
"Keputusan Washington secara serius melanggar norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa, ia juga satu bentuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman yang melemahkan kepentingan Beijing. Kami amat kesal dan menolak sekeras-kerasnya tindakan tersebut," kata jurucakap kedutaan tersebut menerusi kenyataan e-mel.
Ia turut menegaskan Xinjiang tidak berdepan isu hak asasi manusia seperti didakwa AS.
"Tuduhan dilemparkan Washington hanyalah alasan untuk campur tangan," ujarnya lagi.
Terdahulu, Jabatan Negara AS mengumumkan rancangan sekatan visa tersebut sehari selepas Jabatan Perdagangan AS menyenaraihitamkan 20 biro keselamatan awam dan lapan syarikat di China atas layanan buruk terhadap penduduk Uighur dan etnik minoriti Islam di negara itu.
Sementara itu, Kementerian Luar China menegaskan Beijing akan terus mengambil langkah tegas untuk melindungi keselamatan kedaulatan dan turut memberi isyarat bahawa ia akan bertindak balas terhadap tindakan AS itu.
Jabatan Negara bagaimanapun tidak menamakan pegawai China yang berdepan sekatan visa tersebut selepas Setiausaha Negara, Mike Pompeo menyatakan langkah itu kononnya 'melengkapkan' keputusan dibuat Jabatan Perdagangan.
"China telah menahan lebih sejuta orang Islam secara paksa di bawah kempen sistematik dan ganas untuk menghapuskan budaya dan agama di Xinjiang. Beijing perlu menghentikan pengawasan dan penindasan yang kejam itu serta membebaskan mereka yang ditangkap secara sewenang-wenangnya," kata Pompeo menerusi Twitter.
Difahamkan, sekatan itu juga akan berkuatkuasa ke atas ahli keluarga termasuk anak mereka yang mahu melanjutkan pengajian di AS. - Agensi