BEIJING - Kementerian Perdagangan (MOC) China membantah langkah Amerika Syarikat (AS) menyenarai hitam 28 lagi entiti dan menggesa negara berkenaan menarik balik tindakan itu secepat mungkin, lapor agensi berita Xinhua.
Sejak sekian lama, AS sering mengenakan sekatan sepihak ke atas entiti China, kali ini atas nama hak asasi manusia, negara itu menyenarai hitam 28 agensi kerajaan tempatan dan perusahaan China.
Sementara itu, AS menggunakan peluang yang ada untuk memfitnah dan mencemarkan dasar tadbir urus China di Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur di samping mengganggu hal ehwal dalaman China, kata jurucakap MOC.
"Hal ehwal Xinjiang adalah urusan dalaman China dan mempunyai kaitan dengan kedaulatan, keamanan serta integriti wilayah China itu."
Mengenai isu berkaitan Xinjiang, tiada siapa berhak untuk menilainya melainkan kerajaan dan rakyat China, tiada negara atau pihak luar yang dibenarkan untuk campur tangan, tambah jurucakap itu.
Fakta telah membuktikan satu siri dasar dan langkah tadbir urus yang diterima pakai oleh China di Xinjiang mendapat sokongan rakyat daripada semua kumpulan etnik dan menunjukkan keputusan luar biasa.
Kini di Xinjiang, keadaan ekonomi berada pada momentum yang kukuh, semua kumpulan etnik hidup dalam harmoni, stabil dan tiada serangan pengganas sejak tiga tahun lalu.
China menggesa AS berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Xinjiang.
"Pihak China juga akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan kepentingannya terpelihara," katanya. - Bernama