PENGENDALI Vietnam, Park Hang-seo sekali lagi melahirkan kerisauannya menjelang pertemuan menentang Harimau Malaya di Stadium My Dinh, Hanoi malam esok.
Sama ada ia satu bentuk serangan psikologi atau sebaliknya, Hang-seo secara terbuka mengakui skuad kendalian Tan Cheng Hoe kali ini dilihat lebih ampuh berbanding ketika kempen Piala AFF Suzuki tahun lalu.
Bagi Hang-seo, skuad Naga Emas bakal berdepan tugas lebih berat apabila menanti kunjungan Harimau Malaya yang disifatkannya memiliki jentera serangan lebih efektif.
"Kami juga perlu berwaspada dengan ancaman mereka di bahagian sayap. Mereka mempunyai pemain-pemain yang laju di posisi itu. Apa yang penting, kami perlu berhati-hati dengan pasukan Malaysia kali ini,” katanya pada sidang media di Hanoi
Pada masa sama, Hang-seo percaya Harimau Malaya bakal tampil dengan semangat yang tinggi selepas dikecewakan anak-anak buahnya pada kempen Piala AFF Suzuki tahun lalu.
"Saya yakin Malaysia benar-benar mahu menewaskan kami kali ini. Mereka juga dalam situasi yang baik selepas meraih kemenangan besar (6-0) ketika menentang Sri Lanka (pada aksi persahabatan) sebelum datang ke sini (Hanoi).
"Itu sudah membuktikan kami perlu berwaspada dengan pasukan Malaysia. Apa-apapun saya tetap mengharapkan Vietnam mampu meraih tiga mata penuh esok (malam ini).
"Beraksi di gelanggang sendiri harus digunakan sebaik mungkin oleh para pemain saya untuk meraih kemenangan. Saya harap kami dapat mengekalkan rekod baik ketika menentang Malaysia tahun lalu," jelas pengendali kelahiran Korea selatan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Vietnam tak kebal'