Selangor peruntuk RM4.4 juta untuk 95 SJKT

Iklan
Wakil penerima daripada 95 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bergambar bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Sekolah Fasa 1 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM4.4 juta kepada 95 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Selangor sentiasa memberi sokongan dan menggalakkan pembangunan infrastruktur di semua SJKT.

Iklan
Iklan

"Untuk tahun ini Kerajaan Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta untuk menyelenggara 97 buah SJKT di seluruh Selangor yang mana telah diumum dalam Bajet 2018.

"Bagi fasa pertama sebanyak 95 buah sekolah SJKT akan menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4.4 juta dan ini membuktikan bahawa 99 peratus SJKT dari seluruh Selangor telah menerima bantuan tersebut," katanya.

V Ganabatirau (kanan) ketika bercakap pada sidang media selepas penyampaian cek bantuan sekolah fasa 1 bagi SJKT di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian cek bantuan sekolah fasa 1 bagi SJKT di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Katanya, dalam era baharu, pendidikan luar kelas juga seperti latihan dan eksperimen amat penting.

Iklan

"Ia bagi memupuk semangat pelajar serta menggalakkan penglibatan mereka dalam kepelbagaian aktiviti berteknologi, inovasi dan sains.

"Tanpa infrastruktur lengkap, kegiatan atau aktiviti pelajaran dan kokurikulum ini akan terjejas," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM24 juta di bawah program agihan bantuan sekolah tahun ini.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sementara itu Amirudin berkata, Kerajaan Selangor mengambil inisiatif membantu menyelesaikan infrastruktur sekolah bagi keselesaan pelajar dalam menuntut ilmu.

Menurutnya, sebanyak RM19.2 juta akan diagihkan kepada 665 sekolah di seluruh Selangor pada fasa pertama tahun ini.