Tular surat lawat pusat mengundi: SPR sahkan persiapan PRU15

Iklan
Surat yang tular sejak semalam mencetuskan tanda tanya.

IPOH - Tular di media sosial sejak semalam sepucuk surat dari Kementerian Pendidikan yang memberi kebenaran kepada Pengarah Pilihan Raya Perak membuat lawatan ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi.

Menerusi surat bertarikh 23 September itu dinyatakan satu lawatan awal tapak akan dilakukan ke sekolah-sekolah berkenaan yang dijadikan pusat mengundi di Perak pada 1 September hingga 30 November 2019.

Iklan
Iklan

Pengarah Pilihan Raya Perak, Mohd Nazri Ismail berkata, surat kebenaran itu dimohon sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lanjutan daripada pendaftaran automatik bagi pengundi berusia 18 tahun.

Menurutnya, semakan dan pemantauan awal dilakukan di pusat-pusat mengundi seluruh negeri termasuk sekolah bagi memastikan segala keperluan terutama logistik berada dalam keadaan baik.

Iklan

"Ia operasi biasa sebagai persiapan dan sama sekali tiada kaitan dengan sokongan terhadap kerajaan Perak seperti ditularkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Surat terbabit turut dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib menerusi Facebooknya hari ini.

Iklan

Beliau berkata, seorang penyokong kerajaan telah menunjukkan surat sama di layar telefon kepadanya ketika singgah makan tengah hari di sebuah restoran di Kampung Kuala Slim.

"Awal sungguh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mahu meninjau pusat mengundi di Negeri Perak. Tempoh akhir bagi mengadakan PRU15 ialah pada Mei 2023 iaitu 3 tahun 6 bulan lagi. Masih lama.

Menurutnya, tindakan diambil Suruhanjaya SPR itu mungkin ada kaitan dengan Pilihanraya Negeri (PRN) di Perak selepas timbul ura-ura beberapa ADUN kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku wakil rakyat Bebas.

"Dikhabarkan jumlahnya lapan orang, tetapi paling mendesak empat. Jika dua sahaja ADUN meninggalkan pihak kerajaan, ada dua kemungkinan akan berlaku sama ada Kerajaan Negeri Perak bertukar tangan seperti berlaku pada 2009 lalu atau PRN perlu diadakan.

"Atas kemungkinan inilah maka SPR sudah mula menggerakkan jenteranya bagi meninjau pusat-pusat pembuangan undi di seluruh Negeri Perak yang kebanyakannya di sekolah-sekolah," katanya.

Khusairi berkata, kedudukan empat parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang saling berantakan bukan rahsia umum lagi terutama apabila kritikan terbuka dibuat Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, situasi itu bukan sahaja berlaku antara parti, tetapi kalangan ahli dalam parti, paling ketara dalam kepimpinan DAP apabila ADUN Malim Nawar dan ADUN Pokok Assam melepaskan jawatan dalam parti itu kerana tidak puas hati terhadap Pengerusinya, Nga Kor Ming.

"Kelebihan tiga kerusi bukanlah terlalu selamat buat sebuah kerajaan dianggotai empat parti yang rapuh pakatannya.

"Tambah lagi apabila ketua kerajaan (Ahmad Faizal) hanya mewakili satu kerusi dari partinya (kini menjadi dua apabila ADUN Sungai Manik diterima menyertai Bersatu), selain iparnya ADUN Tualang Sekah yang masih kekal bebas pro-PH," katanya.

Kerajaan PH Perak dibentuk pada Mei 2018 lalu dengan 31 kerusi selepas dua ADUN Barisan Nasional (BN) dari parti UMNO keluar dan mengisytiharkan diri ADUN bebas dan menyokong Ahmad Faizal menjadi Menteri Besar.

Dengan keadaan itu, BN kini tinggal 25 kerusi dan Pas (3) menjadikan jumlah 28 kerusi di pihak pembangkang.