SHAH ALAM - Keutamaan terhadap 'ketaksamaan' dalam semua aspek perlu diperbetulkan dan diberi penekanan pada Belanjawan 2020.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma berkata, ketaksamaan dimaksudkan bukan saja mesti diperbaiki dari segi inter tetapi juga intra.
Menurutnya, jika sebelum ini, kerajaan terdahulu dilihat terlalu memberi penekanan inter kepada kaum Melayu, Cina dan India.
"Usaha itu bagus dan kita akui ia dilakukan untuk mengurangkan jurang antara ketiga-tiga kaum tersebut.
"Apa yang merisaukan saya sekarang, soal intra itu mesti diselesaikan juga iaitu jurang antara orang kaya Melayu dengan golongan pertengahan Melayu serta golongan berpendapatan rendah (B40) Melayu," katanya pada Wacana Sinar Siri 132 'Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini semalam.
Katanya, perkara sama juga perlu dilakukan kepada kaum Cina, India termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Madeline memberitahu, beliau menjangkakan Belanjawan 2020 akan lebih baik dari segi perincian apa yang akan dibelanjakan dan dibangunkan kerajaan nanti.
"Jika lihat Belanjawan 2019, bagi saya, itu bajet kelam-kabut sebab kerajaan PH (Pakatan Harapan) menang dah bulan lima dan banyak perkara yang perlu diuruskan ketika itu tapi tahun ini berbeza, kita boleh nampak ada 'stake holders meeting' dan banyak perincian dibuat oleh kerajaan termasuk dari segi penekanan bajet itu sendiri," katanya.
Turut hadir sebagai panel, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Penerangan Parti Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Sementara itu, sebagai ahli ekonomi, Madeline berkata, beliau menyambut baik pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang baharu saja dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Menurutnya, wawasan ini tidak jauh beza berbanding dasar ekonomi sebelum ini tetapi ia mempunyai keunikan kerana kerajaan mahu mencapai satu pertumbuhan ekonomi termasuk dari segi pembangunan.
"Bagi kami orang ekonomi, dua ungkapan itu cukup berbeza kerana kali ini disebut pertumbuhan pembangunan kemakmuran dan dua lagi dengan maruah serta integriti.
"Ini jarang disebutkan dalam bajet, bukan kata dulu tiada tapi ungkapan kemakmuran adalah satu halwa telinga yang segar untuk didengar," katanya.
Menurutnya, konsep kemakmuran itu bermaksud agihan kekayaan dan ketakseimbangan diberi penekanan meliputi bukan sahaja ras tetapi juga wilayah.