MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi membina lebih banyak rumah mampu milik (RMM) untuk memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, kerjasama tersebut diyakini dapat merealisasikan impian golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman dengan harga yang ditawarkan sehingga RM180,000.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 3,754 RMM telah siap dibina dan dalam pembinaan 16,599 unit manakala selebihnya 17,872 ialah dalam perancangan menjadikan jumlah keseluruhan 38,225 di Melaka.
Katanya, ia tidak kira sama ada projek berskala besar mahupun kecil namun lebih utama dengan memberi penekanan kepada pembinaan rumah RMM yang akan memberi kesan baik kepada rakyat.
"Ini termasuk kerjasama LPM dengan syarikat pemaju perumahan Delta Diversified Sdn Bhd yang akan membangunkan projek RMM Batu Berendam.
"Biarpun hanya projek berskala kecil, namun saya percaya dapat memberi kesan jika dapat dibina dalam masa yang singkat dan membantu mereka perlukan rumah dengan harga berpatutan," katanya.
Adly berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Usahasama antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Syarikat Delta Diversified Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Mohd Dom, Pengarah Delta Diversified Sdn Bhd, Tee Kai Loon dan Pengarah Delta Diversified Sdn Bhd, Firdaus Faridza Abdul Samat.
Jelas Adly, projek itu membabitkan pembinaan sepuluh unit rumah teres setingkat intermediate dengan harga jualan RM180,000 dan empat unit rumah teres setingkat corner dan lot berharga RM200,000 di kawasan seluas 0.92 ekar.
"Malah nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.47 juta dan akan siap dalam tempoh 24 bulan," katanya.