Begitu kuat penangan rokok!

Iklan
SAYA berhenti merokok kira-kira 15 tahun yang lalu. Bukan mudah nak buang tabiat itu kerana banyak rintangannya. Perlu ada semangat luar biasa kerana nak berhenti merokok ada cabaran tersendiri, nak pastikan supaya tidak kembali merokok juga satu cabaran yang besar.

Kita akan mudah tergoda jika tak kuatkan tekad dan keazaman untuk bebaskan diri daripada rokok. Sebab itu kita ada dengar orang yang dah berhenti bertahun-tahun pun kembali merokok, waima ada jiran saya selepas menjalani pembedahan pintasan jantung sanggup berjalan kaki cari tempat tersorok (takut bini marah) nak hisap rokok. Begitu kuat penangan rokok!

Ketika menjadi perokok saya boleh dikategorikan sebagai golongan perokok tegar kerana menghisap lingkungan 40 batang rokok sehari. Tak makan pun tak apa janji boleh hisap rokok.

Semasa zaman itu ada waktu-waktu yang bagi saya cukup indah dan lazat untuk menyedut asap. Antaranya selepas makan dan paling nikmat di kedai makan bersama kawan-kawan.

Jika ia dilaksanakan pada zaman saya merokok, saya pasti membantah keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan peraturan melarang aktiviti pelepasan asap di premis dan restoran.

Hendak merokok perlu peka kepada jarak tiga meter dari kawasan berkenaan supaya tak kena denda. Rata-rata kawan-kawan saya yang merokok juga tak setuju dengan larangan itu.

Kata mereka jika esok pilihan raya, semua perokok tak akan pangkah PH, mereka akan koyak kertas undi. Marah betul! Hak kebebasan mereka telah dirampas.

Kata mereka, selepas ini apabila menonton bola di kedai mamak pasti tidak meriah kerana tidak boleh merokok sewenang-wenangnya.

"Takkan aku nak makan kuaci dengan kacang tanah nak hilangkan ketagihan rokok setiap kali lepak di kedai mamak tengok bola," kata kawan saya.

Dia memang kuat hisap rokok dan digelar King Smoker. Warna bibirnya pula hampir menyamai warna kotak rokok Perilly's.

Sebelum ini pula, ada lapan persatuan pengusaha kedai makanan, minuman dan runcit berhimpun secara aman membantah larangan merokok sepenuhnya di premis sedemikian.

Antaranya ialah, Persatuan Restoran India Malaysia (Primas); Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia dan Persatuan Tuan-Tuan Empunya Kedai Kopi dan Makanan Seberang Perai.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Foochow, Toon Koon Ku berkata, larangan itu disifatkan keterlaluan, selain akan menyebabkan pengendali kedai makanan, minuman dan runcit kerugian.

Dan kelmarin, sebuah NGO yang dinamakan Pertahankan Hak Perokok memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar larangan merokok yang dikuatkuasakan kerajaan.

NGO yang baru ditubuhkan itu menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden dan semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Tetuan Haniff Khatri. Sampai macam itu sekali!

Selaku insan yang merasai alam perokok dan alam menyedut asap rokok orang lain, saya rasa amat gembira dan kalau boleh nak jabat tangan dan ucap tahniah kepada menteri yang bertungkus-lumus untuk menguatkuasakan larangan ini.

Ini kerana semenjak tidak menghisap rokok, asap yang dihidu itu amat mencucuk hidung dan amat tidak selesa. Saya masih ingat semasa bulan-bulan awal saya berhenti merokok, saya tidak boleh langsung bau asap rokok kerana berasa pening. Namun lama kelamaan makin OK cuma rasa amat tidak selesa.

Jika ke restoran membawa anak-anak, saya cukup berbulu dengan sikap perokok yang tidak menghormati pelanggan lain. Mereka dengan selamba menghidupkan api rokok dan melepaskan asapnya walaupun kita di meja sebelah ada anak-anak kecil. Syukurlah di sesetengah tempat masih ada kawan-kawan perokok yang tidak berbuat demikian jika melihat kita bersama anak kecil.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kawasan larangan merokok akan ditambah, antaranya di kedai dobi dan premis perniagaan.

Cuma cadangan saya perlu disediakan ruangan khas untuk perokok ini merokok dengan teratur. Turut disediakan tempat membuang puntung rokok dan abu supaya keadaan bersih.

Dengan duit hasil cukai rokok, kerajaan mungkin boleh sediakan di kawasan-kawasan tertentu berhampiran restoran tempat merokok yang berdinding kaca dan tertutup untuk perokok berkumpul, sedut asap berkepul-kepul sesama sendiri.

Naikkan papan tanda di tempat itu seperti"Kawasan merokok - Hisaplah sepuas hati anda!"

Perokok gembira dan yang tak merokok senang hati!