BEKAS pemain negara, Juzaili Samion dan Rezal Zambery Yahya menjadi sandaran buat UKM FC yang kehilangan khidmat ketua jurulatih, Sulaiman Hussin menjelang aksi kedua final Piala Cabaran bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu ini.
Kedua-dua penolong jurulatih UKM FC itu tampil memikul tanggungjawab berat bertemu JDT II selepas Sulaiman kini sedang mengikuti kursus kejurulatihan (Lesen Pro AFC) selama dua minggu di Jepun bermula pada 1 Oktober dan akan pulang ke tanah air pada 14 Oktober ini.
Juzaili dan Rezal yang telah melalui pengalaman tertinggi bergelar pemain termasuk menyarung jersi kebangsaan, mengakui membimbing pemain muda yang majoritinya bergelar mahasiswa tetap ada cabarannya tersendiri.
Bagaimanapun, ia bukan alasan buat UKM menyerah kalah selepas tewas tipis 0-1 dalam aksi final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan mereka optimis UKM masih berupaya melakarkan kejutan nanti.
" Satu pengalaman yang baharu kepada kami, bukan sahaja saya tetapi juga Rezal dan kami cuba berkongsi tentang apa sahaja ilmu serta pengalaman yang kami ada untuk membantu UKM.
" Kami mahu bantu UKM melakar sejarah tersendiri dan ada sesuatu yang boleh dibanggakan, bukan sahaja kepada pasukan tetapi membuktikan golongan pelajar juga boleh bermain bola sepak dengan cemerlang.
" Bagi saya mereka ini cukup istimewa kerana mereka dikurniakan kemahiran berfikir dengan cepat selain ada kelebihan bakat bermain bola sepak justeru permudahkan lagi tugas jurulatih,” katanya.
Sebagai rekod, Juzaili pada tahun 1999 pernah menjadi tumpuan selepas dia bersama Akmal Rizal Ahmad Rakhli diterbangkan ke Perancis untuk beraksi bersama pasukan kelab Perancis, FC Strasbourg dan FCSR Haguenau.
Juzailli juga sering kali dipanggil di dalam skuad kebangsaan pada sekitar tahun 2001 hingga 2008 serta menyarung jersi Pahang, UPB-My Team, Felda United sebelum mengakhiri karier bersama Sime Darby.
Sementara itu, Rezal merupakan antara pemain tengah disegani pada pertengahan tahun 2000 serta mempunyai 35 caps dengan skuad kebangsaan dan pernah bermain dengan pasukan-pasukan besar seperti Negeri Sembilan, ATM dan Johor FC.
Dalam pada itu, Rezal yang baharu pada tahun pertama dalam dunia kejurulatihan, akui tekanan tetap dirasai walaupun selaku bekas pemain yang kaya dengan pengalaman, kredibilitinya cukup dihormati dalam kalangan pemain UKM.
" Ada masanya memudahkan kerja saya kerana pemain-pemain sentiasa patuh dan hormat terhadap arahan-arahan yang bukan saya sahaja keluarkan tetapi jurulatih lain.
" Memang satu perkara berbeza jika hendak dibandingkan ketika bergelar pemain cuma pengalaman saya yang lalu banyak membantu bagi memastikan pemain cepat tangkap apa yang kita ajar.
" Bagi final kedua, saya mahu pemain sentiasa berfikiran positif walaupun ketinggalan 0-1 dan masih ada 90 minit untuk dimainkan, kami akan pastikan kelebihan beraksi di tempat sendiri akan dimanfaatkan oleh UKM," katanya.