SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan sepasukan anggota polis Bukit Aman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di rumahnya di Kampung Baru Rahang pada jam 9.58 pagi tadi.
Perkara itu disahkan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Teo Kok Seong pada sidang media di pejabat Gunasekaran di Seremban Jaya di sini hari ini.
Kok Seong berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut dari Bukit Aman berhubung penahanan Gunasekaran.
"Kita terkejut bila diberitahu penahanan beliau dan DAP Negeri Sembilan akan cuba sedaya upaya membantu beliau dengan memberi bantuan guaman untuk pastikan beliau dapat dibebaskan.
"Kami percaya dengan beliau yang mana selama ini disifatkan sebagai seorang wakil rakyat yang cukup dihormati dan disayangi oleh semua pengundi di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Seremban Jaya," katanya.
Menurutnya, beliau berharap polis dapat melakukan siasatan secepat mungkin dan Gunasekaran dapat dibebaskan dalam waktu terdekat.
Sehubungan itu katanya, masyarakat diharap bertenang dan tidak buat sebarang spekulasi dengan memberi masa kepada polis untuk jalankan siasatan.
"Kami juga akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa," katanya