KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju supaya Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang kemudian dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diambil alih oleh kerajaan Persekutuan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, perkara itu disampaikan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib pada hari ke-20 perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.
Terdahulu, saksi itu dirujuk sepucuk yang dikeluarkannya kepada Najib pada 25 Jun 2009 yang mencadangkan supaya TIA diambil alih kerajaan Persekutuan.
Muhammad Shafee: Apakah tujuan surat ini?
Shahrol Azral: Pada masa itu, saya dalam tergesa-gesa melihat beberapa surat. Keadaan masa itu sangat kelam kabut kerana saya mahu Jho Low memperjelaskan kepada saya apakah yang menjadi hasrat perdana menteri (Najib).
"Kesudahannya, sebelum surat ini dikeluarkan, Jho Low datang semula berjumpa saya dan berkata Najib bersetuju dengan transformasi TIA kepada 1MDB di bawah kerajaan Persekutuan,” katanya.
Muhammad Shafee: Bolehkah saya bertanya, sebelum kamu keluarkan surat ini, adakah kamu bersetuju, berdasarkan apa yang saya tunjukkan kepada kamu dalam kertas kabinet dan dokumen lain, tidak pernah ada keputusan bertulis daripada PM atau kabinet tentang hasrat untuk meletak TIA di bawah kerajaan Persekutuan?
Shahrol Azral: Pada masa itu, saya tidak tahu apa-apa tentang keputusan kabinet itu dan kesemua perkara itu dimaklumkan kepada saya oleh Jho Low. Yang Arif, ini adalah sangat konsisten dengan bagaimana kami hanya diberi maklumat yang secukupnya untuk melaksanakan peranan kami dalam perkara ini.
"Sebagai contoh, malah keputusan kabinet yang berkaitan dengan TIA tidak pernah datang kepada kami menerusi saluran rasmi. Saya rasa sepatutnya, berdasarkan proses biasa, terdapat mesyuarat pasca kabinet dan jika ada perkara berkaitan TIA, CEO TIA akan diminta menghadiri mesyuarat itu secara rasmi, tetapi perkara itu tidak pernah berlaku," katanya.
Ketika ditanya sama ada Jho Low diminta menghadiri mesyuarat kabinet itu, saksi itu menjawab"tidak".
Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan. - Bernama