Idea peringkat sekolah jika digilap jadi idea hebat: Aminolhuda

Iklan
Aminolhuda (kanan) bersama Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor, Saifuddin Abdul Rahim (dua dari kiri) ketika pelancaran majlis penutup Majlis Penutup Program Jelajah TVET Johor 2019 di Maktab Sultan Abu Bakar hari ini.

JOHOR BAHRU - Idea reka cipta pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) boleh dikembang dan ditambah baik untuk diaplikasikan mengikut keperluan industri.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, idea di peringkat sekolah jika digilap akan menjadi satu idea hebat.

Iklan
Iklan

"Hasil reka cipta di peringkat lebih tinggi seperti peringkat kebangsaan sebenarnya terhasil daripada rekaan yang dibuat di peringkat sekolah sebelum ini.

"Di sini (pertandingan peringkat daerah) kita mungkin tidak nampak kelebihan tapi apabila di peringkat kebangsaan nanti reka cipta itu akan ditambah baik menjadi idea baharu menjurus kepada keperluan industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah TVET Johor 2019 di Maktab Sultan Abu Bakar hari ini.

Iklan

Menurutnya, idea reka cipta pelajar TVET tidak seharusnya terhenti selepas tamat mana-mana pertandingan.

"Insya-ALLAH saya percaya idea pelajar ini tidak akan habis di sini (tamat pertandingan), semakin mereka meningkat dewasa, idea rekacipta mereka juga semakin berkembang.

Iklan

"Jika terus diberi galakan dan penyertaan ke pertandingan-pertandingan lebih luas, capaian idea mereka akan terus berkembang.

"Misalnya dalam pembinaan rumah pada masa hadapan, kadang-kadang kita tak boleh nak fikir tetapi idea ini datang daripada pelajar-pelajar," katanya.

Katanya lagi, penglibatan pelajar dalam program seumpama ini wajar diberi galakan sebagai pendedahan dan ruang mencungkil bakat terpendam.

Sementara mengulas soal pembentangan Belanjawan 2020 esok, Aminolhuda melahirkan keyakinan kerajaan akan memberi tumpuan kepada TVET.

"Saya yakin kerajaan akan memberikan tumpuan kepada TVET kerana kita memang telah meningkatkan dari segi pendidikan TVET daripada sekolah kepada Kolej Vokasional di mana pelajar yang lahir mendapat SKM tahap 4 diiktiraf industri.

"Cuma keperluan peralatan yang terkini amat diperlukan pihak kolej dan saya yakin kerajaan akan melihat daripada sudut keperluan itu supaya pelajar dapat menerokai pembelajaran seiring perkembangan semasa," katanya.