KUALA LUMPUR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasai sendiri pengalaman menaiki koc kelas perniagaan bagi Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) dari Stesen Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak.
Keberangkatan Baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim adalah bersempena Majlis Pelancaran ETS2 dan Pembangunan Bersepadu Keretapi Ipoh yang akan dilancarkan di Stesen Keretapi Ipoh.
Sultan Nazrin terlebih dahulu menyempurnakan pra pelancaran ETS2 dengan menandatangani plak perasmian sebelum tren berlepas kira-kira jam 2.10 petang.
Sepanjang perjalanan kira-kira dua jam setengah itu, Baginda turut dibawa ke kokpit pemandu sambil mendengar taklimat pembangunan Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KBDT) dan pembangunan ETS yang disampaikan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Rameli Musa.
Baginda turut berkenan meninjau kemudahan serta fasiliti yang terdapat dalam ETS2 seperti kafe, sistem audio visual serta fasiliti untuk orang kurang upaya (OKU) selain sempat beramah mesra dengan para penumpang.
Yang turut menaiki ETS dari ibu negara ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Azhar Ahmad dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
la turut disertai kira-kira 200 tetamu dari Kementerian Pengangkutan, RAC, KTMB, Women In Rail, pelajar universiti serta pengamal media yang menaiki koc A, B dan C.
Gerabak kelas perniagaan adalah satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka untuk penumpang yang mahukan lebih keselesaan dengan ruang tempat duduk lebih luas dan selesa, pelayan khas selain fasiliti lain seperti kit kembara, Video-on-Demand (VoD) dan slot USB. - Bernama