KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis mengesahkan menahan tujuh lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua lelaki itu ditahan selepas pihaknya melancarkan operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
"Penangkapan terhadap mereka dilakukan sepasukan anggota dan pegawai polis yang melancarkan operasi pada jam 9 pagi hingga 2 petang di beberapa lokasi selepas risikan dan siasatan dimulakan sejak November lalu.
"Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana serta memiliki bahan yang berkaitan kumpulan pengganas itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan ADUN di Negeri Sembilan selepas didapati menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan yang berunsur sokongan terhadap LTTE.
"Beliau juga dikesan mengedar risalah dan bahan yang berkaitan LTTE dalam program itu pada 28 November tahun lalu dan tangkapan kedua membabitkan ADUN dari Melaka.
"Suspek turut hadir program Hari Perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan yang menyokong LTTE selain mengedarkan bahan berkaitan kumpulan itu," katanya.
Katanya, seorang pekerja barang lusuh berusia 38 tahun di Rawang, Selangor turut ditahan kerana disyaki menganjur Hari Perwira LTTE setiap tahun di Kuala Lumpur.
"Suspek turut memiliki dan menyimpan bahan berkaitan kumpulan pengganas itu dan dia pernah disabitkan atas kesalahan mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 September 2016.
"Tangkapan keempat melibatkan seorang ejen insurans berusia 28 tahun di Kuala Lumpur kerana disyaki merancang melancarkan serangan ke atas Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur selain turut memiliki dan menyimpan bahan berkaitan kumpulan pengganas itu," katanya.
Ayob Khan berkata, seorang pemandu teksi berusia 37 tahun yang juga terlibat dalam insiden menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di KLIA ditahan kerana dipercayai menyertai perjumpaan sulit di Sungai Siput, Perak untuk merekrut dan menyebarkan propaganda LTTE di Malaysia.
"Polis turut menahan seorang juruteknik berusia 27 tahun di Kulim, Kedah kerana disyaki menyokong dan memiliki bahan berkaitan LTTE dan tangkapan terakhir membabitkan seorang penjaga kedai makan berusia 22 tahun di Sungai Buloh, Selangor yang dipercayai menyokong dan mempromosikan LTTE melalui sosial media.
"Polis turut menerima maklumat terbaru iaitu ada usaha untuk mengaktifkan semula LTTE. Kita ambil tindakan awal, kita tidak mahu kumpulan ini terus berkembang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Menteri Melaka sahkan ADUN DAP ditahan polis