Najib tidak begitu suka nama 'MIB': Saksi

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak begitu suka nama"MIB", singkatan bagi Malaysian Investment Berhad yang menyebabkan nama itu kemudian ditukar kepada 1MDB (1Malaysia Development Berhad ) pada Ogos 2009.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata perbincangan untuk menukar nama Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) kepada 1MDB dilakukan dalam tempoh Julai hingga Ogos 2009.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguambela utama Najib merujuk kepadanya minit mesyuarat TIA pada 12 Ogos 2009 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Latifah Abu Mansor berhubung pengambilalihan TIA daripada Kerajaan Persekutuan.

Saksi kesembilan pendakwaan, Shahrol Azral, 49, mengesahkan dia menghadiri mesyuarat dengan bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang dan berkata itu hanyalah masalah pentadbiran.

Iklan

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan Najib yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB, Shahrol Azral berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah mencadangkan supaya lembaga pengarah 1MDB seboleh-bolehnya menggunakan nama yang mirip dengan Kumpulan Mubadala dari Abu Dhabi.

"Kami mencari beberapa nama alternatif dan dari situlah kami mendapat nama"MDB", kerana hampir mirip dengan Mubadala," katanya.

Iklan

Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada Najib memberi pendapat mengenai pertukaran nama itu, saksi itu berkata Najib berminat dengan perinciannya memandangkan beliau terlibat tetapi ia semata-mata berasaskan apa yang Jho Low memberitahu kepadanya (mengenai Najib).

"Saya diarahkan melaksanakannya secara formal dan untuk berbuat demikian, saya perlu menulis surat secara hitam putih untuk melaksanakannya," kata saksi itu.

Muhammad Shafee kemudian menunjukkan kepada saksi tersebuit resolusi pekeliling pengarah TIA (DCR) pada 27 Ogos 2009 untuk mengadakan mesyuarat khas lembaga yang diadakan di Royale Chulan Damansara sejurus sebelum nama TIA ditukar secara rasmi kepada 1MDB pada 4 Sept tahun yang sama.

Shahrol Azral berkata tujuan mesyuarat itu adalah untuk mendengar cadangan daripada Ambank mengenai Swap Kadar Faedah (IRS).

"Terdahulu apabila kami menerbitkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion, kami telah komited kepada kadar faedah 5.75 peratus.

"AmBank ingin memperkenalkan produk bagi kami untuk membayar kadar faedah terapung yang lebih rendah berbanding 5.75 peratus, serta bayaran dan sudah tentu ada sedikit risiko kerana ia terapung dan mungkin mencecah lebih tinggi," katanya..

Terdahulu, selepas rehat seketika, saksi itu meminta kebenaran daripada Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk keluar dari sesi tengah hari kerana berasa kurang sihat dan disebabkan cuaca.

Muhammad Shafee kemudian berkata beberapa saksi yang memberi keterangan di kandang itu juga mengalami tanda-tanda yang sama sepanjang perbicaraan.

"Kami mengambil perhatian mengenainya dan telah memindahkan penghawa dingin jauh dari dia," kata Muhammad Shafee sambil berseloroh.

Hakim Sequerah membenarkan Shahrol Azral mengambil cuti dan perbicaraan akan bersambung pada pagi Isnin.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumloah yang sama. - Bernama