KUANTAN - Meskipun tidak berkemampuan berdiri dan berjalan dalam tempoh yang lama, namun kanak-kanak berusia 7 tahun ini tetap bersemangat untuk bersekolah.
Mohamad Hazim Hafifi Mat bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap menghidap penyakit buat pinggang kronik sejak lahir.
Namun, dia tidak pernah merasakan kekurangan itu menjadi penghalang buatnya untuk bersekolah seperti insan normal lain.
Menurutnya, dia bergembira dapat bersekolah pada hari ini.
"Seronok dapat hadir sekolah.. suka dapat kenal kawan-kawan baru,” katanya ringkas.
Ibunya, Anisah Sidek, 48, berkata, Mohamad Hazim Hafifi disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak berusia sembilan bulan apabila satu buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik.
Jelasnya, anak bongsu daripada tujuh beradik itu mula menjalani rawatan dialisis di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak berusia 18 bulan hingga kini berusia tujuh tahun.
"Anak saya ini amat berbeza dan tidak aktif seperti rakan sebayanya yang lain, tapi dia tetap semangat untuk bersekolah.
"Sejak beberapa bulan lalu dia sudah tanya bila hendak hantar dia ke sekolah kerana ingin belajar. Melihat semangat dia, saya sebagai ibu jadi terharu dan akan cuba sedaya upaya untuk pastikan impiannya belajar seperti kanak-kanak lain tercapai,” katanya ketika ditemui di SK Sungai Isap.