SHAH ALAM - Operator e-hailing tidak sewajarnya besar kepala dengan mendesak kerajaan mengikut kehendak mereka dalam memberi kelonggaran terhadap syarat yang ditetapkan.
Praturan berhubung isu penukaran kod kenderaan ke ‘AH’ (e-hailing persendirian) dan mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) perlu dipatuhi semua pihak seperti ditetapkan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Yang Dipertua (YDP) Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd Hussain berkata, operator e-hailing sepatutnya bersyukur dengan kelonggaran diberikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
"Peraturan sudah termaktub di mana kenderaan e-hailing perlu tukar Kod kegunaan seperti teksi, jadi apa yang susah sangat, ikutlah saja lah.
"Kalau teksi boleh ikut peraturan tukar kod kegunaan, kenapa pemandu kereta sapu e-hailing tidak boleh ikut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini operator e-hailing mempersoalkan dua peraturan baru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu penukaran kod kenderaan kepada ‘AH’ dan pemandu mesti mencetak eVP dengan berurusan di kaunter JPJ.
Mereka mendakwa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian sekiranya peraturan itu dikuatkuasakan Sabtu ini.
Kod ‘AH’ bertujuan untuk JPJ mengenal pasti kenderaan persendirian individu dan e-hailing selain bagi memastikan ia menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, pihak terbabit seharusnya menerima hakikat mengenai harga kereta akan turun.
"Jangan ingat penjual kereta terpakai atau orang awam semuanya bodoh, sudah pastilah sebelum membeli kenderaan terbabit mereka akan lihat 'mileage' kenderaan itu dahulu dan seterusnya membuat semakkan di JPJ," katanya.
Tambahnya, kerajaan juga disaran agar tidak berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung perkara itu.