SETIU - Seramai 39 pendaki Gunung Sarut di Hutan Lipur Lata Payung di sini yang juga kakitangan Pejabat Pergigian Hulu Terengganu terpaksa menempuh saat mendebarkan apabila terkandas di pertengahan gunung tersebut akibat berlakunya kepala air berdekatan 'Blue Pool'.
Kumpulan itu terdiri daripada sembilan lelaki dan 30 wanita mula mendaki gunung tersebut kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum terperangkap pada jam 2 petang selepas hujan lebat di kawasan terbabit.
Seorang peserta, Anisah Awang Hitam, 48, berkata, paras air sungai yang sebelum itu cetek tiba-tiba meningkat dengan mendadak sebelum beliau melihat kepala air datang dari bahagian hulu sungai.
"Apabila melihat air semakin tinggi saya dan rakan-rakan di bahagian bawah dari ‘Blue Pool’ ini segera turun ke tepi sungai Lata Payung dan menyeberangi sungai tersebut menggunakan jambatan gantung yang telah uzur.
"Sebenarnya jambatan gantung itu telah ditutup tetapi kami terpaksa menggunakan laluan berkenaan untuk menyeberang ke sebelah darat dan menunggu pihak bomba menyelamat rakan-rakan yang masih terkandas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Seorang lagi peserta, Nurul Aniza Mohd Din, 32, berkata, sebelum kejadian para peserta dipecahkan kepada dua kumpulan dan berada di kawasan yang berlainan.
"Kejadian kepala air ini disedari mereka yang berada di bahagian bawah 'Blue Pool' manakala kami yang baru sampai di bahagian atas tidak mengetahui keadaan tersebut sehingga melihat gambar yang dimuat naik ke kumpulan WhatsApp.
"Apabila mengetahui berlakunya kepala air ada di antara peserta mulai panik dan menangis memikirkan kemungkinan yang mungkin berlaku," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zul Azman Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.38 petang sebelum 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, lima anggota bomba telah mendaki gunung tersebut bagi membantu menurunkan mangsa yang berada di kawasan atas gunung.
"Manakala peserta yang terperangkap di tebing Sungai Lata Payung dibawa menyeberangi sungai menggunakan tali," katanya.
Katanya, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 6.30 petang dan tiada mangsa yang cedera. - Bernama