SINDIRAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar UMNO bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bagi memudahkan Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi ini menimbulkan persoalan yang menarik.
Dengan kata lain, PH akan menghadapi cabaran sukar sekiranya lawannya adalah MCA berbanding dengan calon daripada UMNO.
Biarpun sekian lama berkawan dan saling bekerjasama berjuang menentang lawan, semangat setiakawan antara UMNO dan MCA sebenarnya tidaklah sebaik dan seakrab yang disangkakan.
Ternyata, hubungan mereka teruji setiap kali berlakunya pemilihan calon untuk Pilihan raya Umum (PRU) ataupun PRK. Ini tidak terkecuali pada PRK Parlimen Tanjung Piai kali ini.
Sebaik saja kerusi Tanjung Piai kosong akibat kematian Ahli Parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, awal-awal lagi di peringkat akar umbi daripada UMNO dan MCA beria-ia mendesak agar parti mereka diberi peluang sebagai calon BN untuk merampas kembali daripada PH.
Kerusi Tanjong Piai selama ini memang ditandingi MCA sejak dulu. Maka tidak hairanlah sudah ada pemimpin MCA yang mengugut mahu keluar parti jika UMNO diberi peluang meletakkan calonnya dalam PRK itu.
Ketua MCA Bahagian Kapar, Song Kee Chai dan ahli-ahlinya dilaporkan tegas dengan pendirian mahu partinya bertanding di situ kerana secara tradisinya ia adalah milik MCA.
"Biar mati berdiri daripad hidup melutut. MCA perlu hidup dengan bermaruah!” Begitulah lantangnya Ketua Bahagian MCA itu yang turut mendesak MCA perlu meletakkan calonya sendiri sekiranya pucuk pimpinan BN mengambil keputusan memilih calon UMNO.
UMNO bagaimanapun tidak mahu mendiamkan diri. Melalui Ketua UMNO Bahagian Tanjong Piai, Jefridin Atan menuntut kerusi Tanjong Piai diberikan kepada UMNO kerana menurutnya punca BN kalah pada PRU lalu disebabkan orang Melayu tidak mengundi BN.
Kerusi Parlimen Tanjong Piai mempunyai 53,528 pengundi dengan 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.
Pada PRU lalu, Allahyarham Md Farid yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524, menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).
Melihatkan kemenangan tipis diperoleh PH, sudah pasti UMNO dan MCA yakin mencapai kemenangan pada PRK kali ini tatkala sokongan rakyat kepada PH mulai merosot sejak kebelakangan ini.
Maka, sanggupkah MCA memberi laluan kepada UMNO? Apakah UMNO berjaya memujuk MCA agar menyerahkan kepada calon Melayu bertanding demi semangat BN?