SHAH ALAM - Golongan belia memerlukan 'tongkat' namun bukan semata-mata berpaksikan duit sebaliknya meliputi kepelbagaian kesempurnaan ekosistem dalam kehidupan demi kesejahteraan sosial dan ekonomi mereka.
Tokoh Belia Negara/Asean 2011, Rizan Hassan berkata, dalam aspek tersebut pendekatan yang dilaksanakan kerajaan perlu lebih bersasar berdasarkan pelbagai kategori belia itu sendiri.
"Bila bercakap tentang bantuan, selalu kita fikir sebab duit semata-mata. Ada ramai anak muda tidak bercakap soal duit tetapi tentang akses dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) nak ke kompleks belia.
"Begitu juga kesengsaraan dihadapi oleh adik-adik yang nak ke sekolah dari tingkat 16 PPR, berdepan turun dalam keadaan gelap, memberi ancaman sosial kepada mereka jadi, tongkat apa yang kita berikan kepada mereka ini?," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri 133: Malaysia Baharu: Sampai Bila Belia Kena Tongkat? di Dewan Karangkraf Seksyen 15 di sini malam tadi.
Turut hadir sebagai panel, Timbalan Dekan Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Profesor Madya Dr Ismi Arif Ismail dan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Syahbuddin Hashim.
Menurutnya, anak muda tidak akan merasa tersisih sekiranya kerajaan dapat memberikan mereka 'tongkat' dalam bentuk memberi perhatian menyediakan setiap keperluan mereka.
"Bila ini semua tidak diberikan kepada golongan muda maka mereka merasakan suara mereka tidak didengari 'akhirnya mereka merasakan bakat mereka terbunuh kerana ekosistem tidak menyokong mereka," katanya
Katanya, kerajaan perlu meletakkan belia sebagai rakyat dan tidak mempergunakan belia untuk tujuan politik.
"Pemimpin belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pejuang belia yang lahir di tengah masyarakat, jangan letakkan diri mereka sebagai orang politik.
"Bila pemimpin muda bercakap dalam keadaan dia berpolitik dengan kerajaan, itu yang berlaku pertembungan dan kerajaan pun jangan lihat anak muda sebagai orang politik tetapi sebagai rakyat yang perlu diberi bantuan, sokongan dan sebagainya," katanya.