GUA MUSANG - Walaupun keadaan fizikal tidak sempurna, namun seorang wanita di sini mampu meraih pendapatan lumayan hasil menjual kuih penderam.
Memilih lokasi di laluan Gua Musang-Kuala Krai, gerai kuih penderam milik Nor Zarira Rusli, 30, berhampiran Kampung Sungai Bayu di sini sering dikunjungi pelanggan.
Menurut Zarira, dia pernah mencatat jualan paling tinggi iaitu RM700 sehari yang mana hampir 3,000 biji penderam terjual dalam tempoh itu.
"Saya mula meniaga di tepi jalan ini sejak dua tahun lalu. Sebelum ini, saya hanya meniaga di rumah dan menjaja kuih di kedai-kedai berhampiran dengan harga RM1 untuk empat biji penderam.
"Alhamdulillah, jualan saya amat memberangsangkan dan ramai pelanggan sentiasa mengunjungi gerai walaupun ada yang meniaga kuih sama seperti saya.
"Paling tinggi jualan saya pernah capai RM700 sehari, untuk hari-hari biasa RM200 dan hari cuti, ia akan meningkat kepada RM300 atau RM400 sehari," katanya.
Tambah ibu kepada tiga anak itu, dia bersyukur kerana turut dibantu suami, Md Zamri Md Ripen, 35, dalam menguruskan gerai jualan.
"Selain jualan secara terus saya juga turut memasarkan denderam di kedai-kedai berhampiran seperti di gugusan Felda Chiku dan Paloh.
"Malah ada pelanggan yang meminta saya menggunakan khidmat pengeposan ke luar negeri termasuk Negeri Sembilan.
"Adat meniaga, ada hari untung banyak, ada hari untung sedikit. Ada juga hari saya hanya dapat RM20 sahaja. Tapi tak mengapa kerana saya percaya rezeki itu dari ALLAH SWT," katanya.
Tambah Zarira, dia tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari mana-mana agensi dan hanya menggunakan modal sendiri mengusahakan perniagaan ini.