Wanita rugi lebih RM60,000 diperdaya kenalan Facebook

Iklan
Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN- Niat baik seorang wanita membantu ‘melepaskan’ barangan milik kenalan Facebook dari Scotland yang kononnya ditahan pihak kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memakan diri.

Barang yang dimaksudkan itu sebenarnya hanya umpan sindiket penipuan untuk memperdayakannya.

Iklan
Iklan

Mangsa kerugian lebih RM60,000 apabila membuat bayaran bagi melepaskan barangan yang dikatakan sebuah beg berisi pakaian, dokumen dan wang tunai USD50,000 (RM209,397).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib malang mangsa berusia 48 tahun berlaku selepas dia berkenalan dengan kenalan Facebook bernama Mohammad Hassan (suspek) dari Scotland pada April lalu.

Iklan

Menurutnya, pada bulan yang sama, kenalannya itu menghubunginya memaklumkan berhubung penghantaran beg berkenaan ke negara ini melalui khidmat kurier namun disekat pihak kastam ekoran wang tunai dalam beg berkenaan tidak diisytiharkan.

"Suspek meminta bantuan mangsa membuat sejumlah bayaran bagi melepaskan beg tersebut dan dia berbuat demikian dengan membayar RM4,000 melalui pemindahan wang ke akaun atas nama seorang wanita yang diberikan suspek.

Iklan

"Mangsa kemudiannya dimaklumkan barangan itu sudah dilepaskan dan disimpan sementara pihak kastam sebelum ia dituntut namun dia tidak menuntutnya kerana bimbang ditangkap,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pada 29 April lalu, mangsa menerima pesanan kononnya dari pihak kastam

memaklumkan beg tersebut belum dapat dituntut dan perlu menjelaskan beberapa bayaran termasuk kos upah simpan beg tersebut.

Beliau berkata, dalam tempoh 29 April hingga 14 September lalu, mangsa diminta membuat bayaran tambahan dan dia berbuat demikian melalui 21 transaksi antara RM800 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM 60,428.

"Selepas membuat bayaran terakhir sebanyak RM2,000 pada 14 September lalu, mangsa mula sedar dia ditipu apabila langsung tidak mendapat sebarang perkembangan berhubung barang yang dihantar kenalanan Facebooknya itu.

"Kita percaya, wanita itu antara mangsa sindiket penipuan menggunakan modus operandi menawarkan barangan hadiah atau bungkusan tidak wujud bagi memperdaya mangsa memasukkan wang ke dalam akaun mereka,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan.

"Polis turut mengesan empat wanita yang dipercayai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.