SHAH ALAM - Perkongsian seorang lelaki yang kehilangan ayah sebelum tiga hari konvokesyen adiknya mengundang kesedihan dalam kalangan netizen di Twitter.
Muslim Awang yang berkongsi gambar Insta story adik bongsunya di Twitter dan menulis terkesan dengan kehilangan ayah, Awang Jusoh yang pergi meninggalkan mereka buat selamanya tiga hari sebelum sambutan hari konvokesyen.
Perkongsian cerita Muslim di Twitter tular di media sosial dan kini meraih 20,000 ulang kicau dan 16,000 tanda suka selain ramai netizen mengucapkan takziah kepada mereka sekeluarga.
Kata wardinasafiyah2"Saya tak nak menangis tapi menangis juga. Ya ALLAH semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan semoga keluarga kamu semua dimurahkan rezeki dan gembira selalu."
Muslim ketika dihubungi Sinar Harian berkata, bapanya meninggal pada 5 Oktober lalu manakala majlis konvokesyen adiknya yang menerima Diploma Rekaan Dalaman pada 8 Oktober.
Lebih menyedihkan katanya, kesemua adik-beradiknya rapat dengan arwah bapanya yang akan membingkaikan gambar konvokesyen anak-anaknya di rumah di Pasir Puteh.
"Ayah sudah bingkaikan empat gambar cuma ada empat sahaja lagi belum dibingkaikan sebab dia nak tunggu adik konvo dahulu tapi Allah lebih menyayangi dia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Muslim berkata arwah bapanya pernah memberitahu kepada anak-anak bahawa dia akan 'pergi bertemu Ilahi' ketika kami menyambut hari jadinya yang ke 65 pada tahun lalu.
"Kata abah inilah sambutan hari jadinya yang terakhir kerana ibu bapa serta adik beradiknya meninggal dalam usia lingkungan 60-an," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana berjaya melaksanakan hasrat bapanya yang mahu anak-anaknya sendiri menguruskan jenazah.
Alhamdulillah kami dah tunaikan hajat arwah ayah malah abang sulung saya yang mengimamkan solat jenazah arwah ayah," katanya.