AKAUN Instagram milik Ratu Rock Malaysia, Ella, telah di godam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hampir dua minggu lalu.
Bagaimanapun, perkara itu tidak disedari ramai sehinggalah pelakon dan pengacara, Nora Danish berkongsi mengenai perkara itu menerusi Insta Story miliknya beberapa jam yang lalu.
Menurut Nora, 32, dia ada bertemu dengan Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 53, di sebuah acara semalam dan mengambil video wanita itu sebelum di muat naik di Insta Story miliknya.
"Semalam saya menghadiri sebuah majlis dan berjumpa kak Ella, bintang rock lagenda dan saya pasti semua kenal kak Ella. Saya suka dia dan dia sangat cantik.
"Jadi saya ambil video kak Ella menerusi Insta Story dan tagged Instagram kak Ella. Tidak lama kemudian saya menerima mesej di Instagram dari kak Ella dan dia meminta nombor saya.
"Pagi ini saya menerima mesej daripada Instagram dan dalam mesej itu mengatakan saya ada memuat naik sesuatu berkaitan keganasan dan akaun saya akan ditutup.
"Oleh itu saya perlu menekan link berkaitan sekiranya saya tidak berbuat apa-apa kesalahan. Tapi saya bernasib baik kerana telefon saya seperti tersekat seketika, jadi saya sempat berfikir kenapa Instagram menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp dan bukannya melalui Email.
"Secara tidak langsung saya teringat siapa yang meminta nombor saya semalam. Jadi saya buka semula mesej itu dan lihat akaun Instagram kak Ella dan baharu saya sedar akaunnya telah digodam," jelas Nora.
Tambah Nora, dia berharap pendedahan itu akan memberi kesedaran kepada pengikut Instagram Ella yang mungkin menerima mesej hampir sama.
"Jom kita ramai-ramai unfolloe akaun @ellaaminuddin dan follow akaun baru Ella iaitu @ellaaminuddins," ujarnya yang sempat bergurau supaya mana-mana yang pernah mengalami telefon bimbit hank agar tidak memarahi telefon sendiri.
Sementara itu, tinjauan di akaun Ella yang telah digodam itu mendapati, penggodam terbabit turut berkongsi nombor telefon Nora bersama alamat IP nya. Manakala tinjauan di akaun terbaharu Ella pula mendapati pelatun lagu Sembilu itu sudah memuat naik posting pertama sejak 27 September lalu.