Subsidi petrol hanya untuk sebuah kenderaan

Iklan
Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 dalam Dewan Rakyat, hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

KUALA LUMPUR - Pengguna yang mempunyai lebih daripada dua kereta dan motosikal hanya layak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) untuk sebuah kenderaan sahaja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi PSP yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna kenderaan di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PSP merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan.

"Kenderaan yang memenuhi syarat layak untuk subsidi ini adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1,600cc yang berusia lebih 10 tahun.

Iklan

"Motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

"Kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi bersasar ini," katanya pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Guan Eng berkata, bermula Januari 2020, PSP akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bukan penerima BSH.

Menurutnya, bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan kepada pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk motosikal.

"Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran pertama pada April 2020.

"Kedua, bagi bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter.

"Ia terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal. Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020," katanya.

Beliau berkata, apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur.

Menurutnya, langkah itu akan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di pihak kerajaan melebihi RM1 bilion setahun.

"Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter.

"Tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter.

"Pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel," katanya.