BAGAN SERAI -"Adik ada bermimpi lihat ibu dipimpin dua wanita berbaju putih. Dalam mimpi itu ibu kelihatan biasa dan tenang namun mimpi itu terhenti di situ dan kami tidak tahu maksudnya," kata Mat Amin Ahmad, 54, anak kepada seorang warga emas yang hilang sejak 5 Oktober lalu.
Kehilangan Fatimah Mat, 72, di Kampung Jaya, Batu 10, Semanggol itu menjadi tanda tanya apabila operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketujuh, hari ini masih belum menemui sebarang petunjuk.
Warga emas yang mempunyai masalah pelupa dan uzur itu disedari hilang oleh ahli keluarga kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika keluar mencari pucuk paku di kawasan hutan berhampiran.
Mat Amin berkata, mereka sekeluarga masih menaruh harapan tinggi ibunya dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Katanya, penduduk kampung turut sama berikhtiar dengan mengadakan bacaan Yasin di surau memohon agar gerakan mencari yang dilakukan dipermudahkan.
"Ahli keluarga pula terus mengadakan solat hajat setiap hari, kami tak mahu putus asa kerana kami yakin ibu masih selamat," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang berakhir petang ini diperhebat dengan penglibatan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Amal Malaysia serta Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.
Radius pencarian juga diperluas sehingga tiga kilometer persegi dari kediaman mangsa.
Mat Amin berkata, pihaknya akur dengan penamatan SAR itu, namun tetap akan meneruskan pencarian dengan bantuan penduduk kampung.
"Pihak keluarga amat berterima kasih kepada jabatan dan agensi serta penduduk yang bertungkus lumus membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini.
"Walaupun keputusannya masih gagal dikesan, kami tetap akan menanti penuh sabar," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas hilang lepas keluar cari pucuk paku