Tiga beranak maut nahas babit tiga kenderaan

Iklan
Kenderaan mangsa remuk akibat pelanggaran terbabit.

GUA MUSANG - Tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 29, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, pagi tadi.

Mangsa, Siti Norhayati Mt Hassan, 26, beralamat di Felda Chiku 01, bersama anak lelakinya, Mohamad Ilham Haiqal Mohamad Hanis Asyraf, 2, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Iklan
Iklan

Anak sulung mangsa, Nur Bibi Qalesya Mohamad Hanif Asyraf, 5, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10.40 pagi itu melibatkan kenderaan jenis Proton Satria, Perodua Myvi dan Perodua Axia.

Iklan

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anaknya dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.

"Tiba di tempat kejadian, mangsa yang menaiki Proton Satria masuk ke laluan bertentangan bagi mengelak dari kenderaan jenis Proton Wira yang sedang masuk simpang.

Iklan

"Mangsa telah terlanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta jenis Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan kemudian melanggar di bahagian hadapan kereta jenis Perodua Myvi juga datang dari arah sama.

"Akibat pelanggaran itu, seorang mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital. Kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik HGM untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Mt Hassan Zakaria, 66, memberitahu, semalam merupakan kali terakhir dia berhubung dengan anak dan cucunya.

"Arwah adalah anak ketujuh dari 10 adik beradik. Dia berniaga kedai makan berdekatan Taman Agropolitan Rantau Manis namun hari ini dia cuti.

"Jadi, saya difahamkan, dia dalam perjalanan pulang ke rumah saya di Felda Chiku 01. Memang bila waktu cuti, dia akan pulang ke rumah.

"Tidak dinafikan, saya terkejut dengan berita kehilangan ini tapi sebagai manusia, saya terima ketentuan ini dengan hati terbuka," katanya.

Jenazah tiga beranak ini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 01 dalam satu liang lahad.