Terpengaruh suami, isteri ambil dadah selepas lahirkan anak pertama

Iklan
Suami isteri ditahan AADK dikediaman mereka di Jalan Sungai Baru Simpang Empat.

KANGAR - Pasangan suami isteri, bapa dan anak lelaki antara 11 individu yang ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis dalam serbuan di beberapa lokasi di daerah ini semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, pasangan suami isteri berusia 57 dan 41 tahun ditahan di rumah mereka di Jalan Sungai Baru Simpang Empat.

Iklan
Iklan

Katanya, siasatan mendapati wanita berkenaan mengaku mengambil dadah jenis Syabu selepas melahirkan anak yang pertama akibat terpengaruh dengan suaminya yang menjadikan rumah kediaman mereka sebagai port menghisap dadah sejak tahun 2000.

"Suaminya tidak bekerja dan juga Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kemalangan. Lelaki itu menyalahgunakan bantuan yang disalurkan oleh JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Baitulmal untuk membeli bekalan dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurut Azizah, serbuan di sebuah lagi rumah di kawasan berhampiran mendapati seorang bapa berusia 44 tahun telah ditahan bersama anak lelakinya berusia 19 tahun kerana positif dadah jenis Syabu.

"Mereka yang bekerja sebagai nelayan mengambil dadah secara harian sebelum melakukan kerja," katanya.

Iklan

Tambahnya, pasukan penguatkuasa AADK Perlis turut membuat rondaan di kawasan Kampung Wai Kuala Perlis dan melakukan pemeriksaan terhadap empat orang lelaki yang mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis syabu dan salah seorang daripada mereka merupakan pelajar sekolah menengah di kawasan tersebut.

"Hasil operasi, sembilan lelaki dan dua wanita ditahan oleh pasukan penguatkuasa AADK Perlis.

"Kesemua mereka dibawa ke pejabat AADK Perlis untuk tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998," katanya.