Bina replika MH370 atas bumbung

Iklan
Replika kapal terbang ini bukan sahaja dibuat oleh Mohammad semata-mata untuk perhiasan namun ingin menyampaikan mesej memperingati kehilangan MH370.

KUANTAN- Tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang pernah menggemparkan negara, enam tahun lalu masih menyelubungi seluruh rakyat Malaysia.

Peristiwa tersebut mencatatkan sejarah hitam apabila seramai 239 penumpang dan 12 kru kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, hilang tanpa dikesan sehingga ke hari ini.

Iklan
Iklan

Namun, bagi seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) walaupun dirinya bukanlah sebahagian ahli keluarga penumpang MH370, beliau mengambil keputusan mengabadikan peristiwa itu dengan membuat sebuah replika kapal terbang berlogokan MH370 di atas bumbung rumahnya.

Mohammad Daud, 67 ketika ditemui berkata dirinya mula mendapat ilham untuk membuat pesawat tersebut sejurus berita kehilangan MH370 disiarkan di akhbar dan television.

Iklan

"Sebelum ini saya hanya membuat kincir angin di atas bumbung namun bila sahaja MH370 hilang, saya dapat idea untuk buat pula kapal terbang berlogokan MH370 yang mampu menarik pandangan orang ramai.

"Dengan replika tersebut, saya harap dapat membawa masyarakat mengimbau sejenak sejarah hitam yang bukan sahaja menjadi tumpuan utama negara kita malah serata dunia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, semalam.

Iklan

Mohammad juga turut menyimpan keratan akhbar berkaitan berita MH370 dari permulaan insiden sehingga terkini yang akan dijadikan sebuah buku tidak lama lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata dirinya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghasilkan replika tersebut yang membabitkan kos sebanyak RM800.

Menurutnya, replika berkenaan dibina menggunakan aluminium, paip pvc, fiberglass dan menggunakan paip besi bergalvani sebagai tiang yang memegang pesawat tersebut.

"Kerja membina kapal terbang selalunya saya lakukan pada waktu petang kerana pagi saya meluangkan masa bersama keluarga.

"Walaupun ia bukan kapal terbang yang sebenar, tetapi sekurang-kurangnya ia menarik minat orang untuk mengunjungi serta melihat replika ini dari dekat yang ingin memberi mesej kepada mereka yang melihatnya,” katanya.

Tambahnya, dirinya kini bercadang untuk memperbesarkan lagi replika kapal terbangnya supaya masyarakat yang melalui laluan utama akan dapat melihat seolah olah ada kapal terbang di Perkampungan Sungai Isap 2.

"Di samping itu, saya akan menambah lampu di bawah kepala kapal terbang dan di ekornya supaya apabila malam ia akan berkelip seperti kapal terbang yang sebenar," katanya.